Kurangkan peranan 'orang tengah'

Laporan muka depan Sinar Harian pada Rabu. (Gambar kecil: Ahmad Farhan)
Laporan muka depan Sinar Harian pada Rabu. (Gambar kecil: Ahmad Farhan)
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan perlu lebih eksklusif dalam dasar aktiviti ekonomi termasuk mengurangkan peranan ‘orang tengah’ bagi mengelakkan wujudnya amalan rasuah dalam rantaian bekalan barangan dan perkhidmatan sehingga menjadi antara faktor kepada kenaikan kos sara hidup.

Presiden Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), Ahmad Farhan Rosli berkata, amalan rasuah dalam perkhidmatan akan menyebabkan peningkatan kos sekali gus menyebabkan pengguna yang terpaksa menanggung kesannya.

Katanya, persoalan rasuah adalah mengenai sistem yang rosak dan membarah di mana kos sara hidup juga antara segmen penyebab berlakunya desakan untuk terlibat dengan rasuah.

“Ini berlaku kerana wujudnya elemen monopoli keterlaluan dalam pasaran ekonomi terutama dalam kalangan pemain ekonomi yang tamak dan hanya mementingkan keuntungan tanpa mengambil kira beban hidup rakyat.

“Oleh itu, kerajaan seharusnya lebih eksklusif dalam dasar aktiviti ekonomi termasuklah mengurangkan peranan orang tengah,” katanya kepada Sinar Harian.

Sebelum ini media melaporkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyatakan kos sara hidup di Malaysia meningkat kerana rasuah yang berleluasa.

Dr Mahathir dilaporkan berkata, apabila setiap urusan diselitkan elemen rasuah, ia menyebabkan harga barang dan perkhidmatan menjadi semakin mahal.

Sementara itu, Ahmad Farhan berkata, penumpuan seharusnya diberikan kepada pasaran yang terbuka dengan memperkasa inisiatif seperti pasar tani selain mengurangkan kebergantungan kepada syarikat mega.

“Usaha-usaha ke arah meningkatkan pendapatan negara dan rakyat dengan pengawalan subsidi serta harga barang juga harus dilakukan.

“Pembasmian kartel-kartel monopoli dalam industri pemakanan perlu ditangani dengan penguatkuasaan undang-undang yang lebih ketat,” tegasnya.