AMK Pulau Pinang jangan jadi batu api - DAPSY

Jason (Laporan Sinar Harian pada Sabtu.)
Jason (Laporan Sinar Harian pada Sabtu.)
A
A
A

GEORGETOWN - Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) tampil mempertahankan Timbalan Ketua Menteri II, P Ramasamy selepas rakan sekutu, Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pulau Pinang mendesaknya meletakkan jawatan susulan kenyataan kontroversi dalam isu pembaharuan dalam perkhidmatan awam negara.

Naib Ketua DAPSY, Jason Raj menyifatkan kecaman dan desakan yang dibuat Ketua Penerangan AMK Pulau Pinang, Abshar Nurasyraf terhadap Ramasamy hanyalah mahu meraih publisiti semata-mata.

Menurutnya, Abshar dilihat cuba menggambarkan dirinya sebagai wira dengan menyerang Ramasamy kerana kenyataannya tentang perlunya pembaharuan dalam perkhidmatan awam.

"Abshar harus membaca dahulu artikel asal oleh Ramasamy di Laman Facebook rasminya dan tidak membuta tuli membuat kesimpulan berdasarkan artikel media yang diputar belit.

"Kenyataan sebenar Ramasamy adalah mengenai keperluan pembaharuan dalam perkhidmatan awam...Adakah Abshar sengaja mahu menjadi batu api dan tidak dapat memahami hak asasi bersuara," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Jason berkata, setiap orang mempunyai hak untuk menyuarakan pendapat mereka dan ia tidak bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Dalam pada itu, Jason berkata Abshar yang memegang jawatan penting dalam PKR tetapi malangnya beliau sendiri nampaknya tidak menghormati malah tidak faham apa itu keadilan.

Katanya, Perdana Menteri sendiri pernah berkata artikel Ramasamy adalah ekspresi kebebasan bersuara dan menjawabnya secara positif apabila ditanya oleh ahli media.

"Ramasamy adalah seorang stentorian dan dia sentiasa bersuara untuk golongan minoriti.

"Ini bukan perkara baharu baginya. Beliau telah lama bercakap tentang keperluan pembaharuan dalam perkhidmatan awam.

"Kenyataan peribadinya mengenai ekuiti telah ditipu oleh individu yang tidak bertanggungjawab untuk memburukkan namanya," tambahnya.

Sementara itu, Jason berpendapat Ketua Penerangan AMK Pulau Pinang itu perlu menghentikan tindakannya dalam mencari publisiti murahan sebaliknya perlu memulakan usaha untuk memperkukuh partinya untuk pilihan raya negeri akan datang.

Tambanya, Abshar juga perlu menerima kelemahan partinya seperti yang dapat dilihat dalam keputusan PRU15 baru-baru ini.

"Apa yang diusahakan Abshar setakat ini? Malah dengan jawatan yang disandang beliau tidak pernah memberi kesan positif kepada kekuatan partinya sendiri.

"Ini terbukti sebilangan besar belia mula menunjukkan sokongan mereka kepada Perikatan Nasional terutamanya di kawasan yang sebelum ini dikuasai oleh PKR dan Parti Amanah Negara (Amanah) kerana mereka merasakan PKR dan Amanah gagal memenuhi keperluan mereka.

"Sebagai sebuah parti berbilang kaum, PKR harus melihat kenyataan yang dibangkitkan oleh pemimpin berpengalaman secara membina dan tidak mula menafikan serta mengkritik sepenuhnya," ujar.

Pada Sabtu Sinar Harian melaporkan AMK Pulau Pinang mendesak agar Timbalan Ketua Menteri II, P Ramasamy meletakkan jawatannya berikutan kerap mengeluarkan kenyataan bersifat prejudis dan membuat kontroversi dengan publisiti murahan.

Ketua Penerangannya, Abshar Nurasyraf berkata, terbaharu Ramasamy dilihat cuba mengeluarkan kenyataan bersifat kontroversi yang tidak akan menguntungkan kerajaan, rakyat mahupun negara malah sekadar menjadi liabiliti terhadap semua pihak.

Menurutnya, dalam usaha negara kini menuju ke arah sebuah negara Madani, sebagai pemimpin nombor dua di negeri Pulau Pinang beliau harus lebih peka dan berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan.