AMK Pulau Pinang desak Ramasamy letak jawatan

Ramasamy - Foto Bernama
Ramasamy - Foto Bernama
A
A
A

GEORGETOWN - Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pulau Pinang mendesak agar Timbalan Ketua Menteri II, P Ramasamy meletakkan jawatannya berikutan kerap mengeluarkan kenyataan bersifat prejudis dan membuat kontroversi dengan publisiti murahan.

Ketua Penerangannya, Abshar Nurasyraf berkata, terbaharu Ramasamy dilihat cuba mengeluarkan kenyataan bersifat kontroversi yang tidak akan menguntungkan kerajaan, rakyat mahupun negara malah sekadar menjadi liabiliti terhadap semua pihak.

Menurutnya, dalam usaha negara kini menuju ke arah sebuah negara Madani, sebagai pemimpin nombor dua di negeri Pulau Pinang beliau harus lebih peka dan berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan.

"Ini bukan kali pertama beliau mengeluarkan kenyataan sebegini, malah sudah berulang kali.

"Isu ramai penjawat berbangsa Melayu bukanlah satu isu yang besar sebaliknya beliau cuba mencurah minyak ke api bertujuan hanya untuk mencari perhatian dan sokongan murahan pihak-pihak tertentu," katanya menerusi kenyataan di sini pada Sabtu.

Sebelum ini, Ramasamy yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perai menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mereformasikan perkhidmatan awam yang didakwanya didominasi oleh orang Melayu dan dasar itu dilaksanakan pada era kepimpinan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Menurut beliau, hujah lama yang memihak kepada penguasaan orang Melayu dalam perkhidmatan awam untuk mengimbangi penguasaan ekonomi bangsa Cina, tidak lagi terpakai.

Abshar Nurasyraf
Abshar Nurasyraf

Ini kerana, dakwa Ramasamy, hujah berkenaan digunakan Tun Mahathir untuk menginstitusikan hegemoni Melayu dalam sektor awam, khususnya perkhidmatan awam.

Beliau turut mendakwa terdapat juga diskriminasi kaum secara rahsia apabila ia berkaitan dengan prospek kenaikan pangkat untuk bukan Melayu dalam sektor awam.

Mengulas lanjut mengenai isu berkenaan, Abshar berkata, pihaknya yakin di bawah kepimpinan Anwar tidak akan wujud sebarang diskriminasi ke atas mana-mana kaum untuk mendapat tempat dalam mana-mana sektor pekerjaan dalam usaha membawa negara ke arah Malaysia Madani.

Beliau turut menyeru agar semua bertenang dan tidak melayani publisiti murahan yang keluar daripada individu seperti ini.

Tegasnya, tindakan memecat atau letak jawatan sewajarnya dilakukan pada ketika ini untuk memberi peluang kepada pemimpin lain yang lebih berkaliber dan layak menjadi orang nombor dua di negeri ini.

"Tunjang terhadap kekuatan dan kesepaduan yang dizahirkan oleh rakyat Malaysia pada hari ini wujud hasil daripada perpaduan rakyatnya. Ia harus kita semarakkan, bukan dipecahkan," katanya lagi.