Nelayan asing curah diesel elak ditahan

Syed Nor Adli (kiri) melihat tekong dan awak-awak warga Vietnam yang ditahan dalam serbuan bersepadu menerusi Op Naga Barat, Kuda Laut dan Damai.
Syed Nor Adli (kiri) melihat tekong dan awak-awak warga Vietnam yang ditahan dalam serbuan bersepadu menerusi Op Naga Barat, Kuda Laut dan Damai.
A
A
A

PASIR PUTEH - Sekumpulan nelayan asing warga Vietnam bertindak licik mensabotaj serbuan pihak berkuasa Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Kelantan dengan mencurah minyak diesel di sekeliling bot mereka bagi mengelak ditahan pada Khamis lalu.

Serbuan bersepadu menerusi Op Naga Barat, Kuda Laut dan Damai pada jam 7.37 pagi itu menyebabkan beberapa anggota tergelincir ketika cuba masuk ke dalam bot laut dalam jenis C2 terbabit.

Pengarah Maritim Negeri Kelantan, Kepten Maritim Syed Nor Adli Syed Ab Rahman berkata, anggota terpaksa merangkak untuk masuk sebelum berjaya menahan kesemua lelaki berusia 18 hingga 53 tahun termasuk seorang tekong berusia 45 tahun.

Menurutnya, kapal maritim (KM) Amanah sebelum itu mengesan bot terbabit dalam keadaan mencurigakan berhampiran pelantar minyak di perairan Terengganu pada kedudukan kira-kira 125 batu nautika dari muara Tok Bali.

“Mereka cuba bolos dan KM mengejar dalam keadaan laut bergelora dengan ombak setinggi 2.5 meter dan berangin.

“Semasa dikejar, mereka bertindak melempar tali dan pukat ke laut untuk menghentikan KM Amanah namun bot mereka akhirnya berjaya dihentikan pada jam 9. 41 pagi selepas hampir dua jam usaha mengejar,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Maritim Malaysia Kelantan, Tok Bali pada Ahad.

Syed Nor Adli (tengah) menunjukkan bot nelayan asing warga Vietnam yang dirampas oleh Maritim Malaysia Kelantan.
Syed Nor Adli (tengah) menunjukkan bot nelayan asing warga Vietnam yang dirampas oleh Maritim Malaysia Kelantan.

Syed Nor Adli berkata, anggota mengalami kesukaran untuk menggeledah bot kerana geladak licin akibat minyak.

“Pemeriksaan menemukan tiga tan ikan, peralatan menangkap ikan, navigator dan komunikasi serta 5,000 liter diesel yang keseluruhannya bernilai RM1.56 juta.

“Proses menunda bot tahanan mengambil masa hampir 30 jam kerana mengalami kerosakan sebelum tiba di Jeti Maritim Kelantan pada jam 3.20 petang Jumaat,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Perikanan 1985 kerana kegagalan mempamerkan dokumen kebenaran menangkap ikan dan Seksyen 16(3) akta sama kerana gagal memaklumkan pegawai berkuasa melalui radio atau faksimili tentang nama negara, bendera, lokasi serta destinasi ketika memasuki perairan Malaysia.

Sabit kesalahan boleh dihukum mengikut Seksyen 25(a) iaitu didenda maksimum RM6 juta bagi tekong manakala RM600,000 ke atas kru, bot dan peralatan dilucut hak kepada kerajaan Malaysia.

Kes juga disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana gagal pamerkan dokumen pengenalan diri yang sah yang boleh dihukum mengikut Seksyen 6(3) iaitu denda maksimum RM10,000 atau penjara maksimum lima tahun dan kedua-duanya sekali serta enam sebatan.