Skim 'kutu Sapiza': 116 laporan polis babit kerugian RM4.4 juta

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis telah menerima sebanyak 116 laporan membabitkan kerugian RM4.4 juta berkaitan skim simpanan yang dikenali sebagai Sapiza Saving Extra (SSE) yang dikesan aktif menjalankan kegiatan penipuan di seluruh Malaysia.

Setiausaha Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin berkata, siasatan awal mendapati skim ini telah mula aktif sejak 2015 dengan menawarkan simpanan berasaskan 'permainan kutu'.

"Namun, pada 2021, skim ini mula menawarkan beberapa pelan simpanan baharu iaitu pelan serendah RM250 sehingga RM20,000 merangkumi tempoh simpanan antara dua hingga lima bulan.

"Sebagai tambahan, skim baharu yang ditawarkan itu turut menjanjikan keuntungan antara 15 peratus hingga 40 peratus daripada jumlah wang yang disimpan," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Menurutnya, bagaimanapun, sejak Oktober tahun lalu, pengendali skim simpanan itu didapati telah gagal untuk melunaskan pembayaran keuntungan kepada peserta.

"Jabatan Siasatan Jenayah Komersial telah menahan lapan individu termasuk dalang utama sindiket melalui serbuan di sekitar Kuala Lumpur, Terengganu, Perak dan Negeri Sembilan pada 27 Januari lalu," jelasnya.

Beliau berkata, kesemua yang ditahan terdiri daripada dua lelaki dan enam wanita berusia dalam lingkungan 31 hingga 37 tahun.

"Polis turut merampas sebuah kenderaan mewah, kad-kad pengeluaran wang automatik (ATM), telefon bimbit pelbagai jenama dan pelbagai dokumen yang dipercayai digunakan dalam aktiviti penipuan ini," ujarnya.

Noorsiah berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001.

"PDRM mengingatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada dan melaksanakan semakan yang lebih terperinci sebelum menyertai mana-mana skim pelaburan atau simpanan yang menjanjikan keuntungan yang terlalu lumayan.

"Dapatkan maklumat lanjut dari sumber-sumber rasmi seperti Semak Mule, Alert List Bank Negara Malaysia dan Security Commission sebelum membuat keputusan untuk menyertai skim-skim yang meragukan," katanya.