'Ibu kutu Sapiza' kaut jutaan ringgit, perdaya ramai mangsa

Hishamuddin (duduk lima kiri) bersama beberapa mangsa membuat sidang akhbar mengenai penipuan pelaburan skim kutu di sini pada Jumaat.
Hishamuddin (duduk lima kiri) bersama beberapa mangsa membuat sidang akhbar mengenai penipuan pelaburan skim kutu di sini pada Jumaat.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Lebih 1,000 orang dipercayai mengalami kerugian dianggarkan mencecah juta ringgit setelah menjadi mangsa pelaburan skim kutu yang dikenali 'Saving Sapiza'.

Mangsa, seorang pemilik kedai makan yang dikenali sebagai Wati, 39, mendakwa dia bersama tiga beradiknya mengalami kerugian sebanyak RM70,000 setelah menyedari ditipu oleh individu yang menjalankan pelan pelaburan kutu itu.

"Saya telah melabur wang sebanyak RM7,000 dalam skim kutu itu sejak Mac tahun lalu, adalah untuk menambah kos perubatan anak lelaki berusia lima tahun yang menghidap kecacatan fizikal (spina bifida)" katanya pada sidang akhbar Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) di sini, pada Jumaat.

Wati berkata, mangsa dijanjikan pulangan sebanyak 10 peratus hingga 60 peratus seperti yang ditawarkan di dalam plan pelaburan.

"Pelan pelaburan kutu ini dikatakan menyediakan beberapa pakej serta tarikh pulangan wang modal serta keuntungan," katanya.

Wati berkata, selain daripada seorang wanita yang juga dianggap 'ibu kutu', terdapat beberapa individu yang ditugaskan sebagai admin untuk membantu menjalankan skim kutu itu.

"Kami berasa ditipu apabila kami tidak mendapat pulangan wang seperti yang telah dijanjikan sejak November tahun lalu," katanya.

Sementara itu, Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim berkata, kebanyakan mangsa penipuan skim kutu itu berasal dari Johor.

"Seramai 60 mangsa telah tampil membuat aduan kepada MHO, daripada jumlah itu seramai 30 mangsa telah membuat laporan polis," katanya.

Hishamuddin berkata, mangsa juga terdiri daripada ustaz, penjawat awam, swasta dan anggota polis yang melibatkan kerugian antara RM10,000 hingga RM200,000.

"Mangsa terpedaya dengan skim itu kerana menawarkan pembayaran ekstra, iaitu suatu kadar yang tidak pernah dijanjikan oleh mana-mana institusi kewangan serta pelaburan yang sah," katanya.

Hishamuddin berkata, beliau difahamkan penganjur skim itu yang dikenali sebagai ‘ibu kutu’ bersama tujuh ejennya telah ditangkap oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman pada Khamis untuk siasatan lanjut.

Hishamuddin berkata, apa yang membimbangkan pihaknya ialah ibu kutu dan ejen terbabit akan diserahkan kepada agensi berkaitan iaitu Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) untuk menjalankan siasatan dan pendakwaan.

"Kita bimbang, SSM menerusi Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC) dan hanya membuat tuduhan bawah akta larangan dengan hukuman maksimum hanya RM500,000 atau penjara," katanya.

Beliau berkata, MHO berharap individu tersebut dikenakan tindakan tegas mengikut Akta (Larangan) Kumpulan Wang Kutu 1971 (Akta28) serta Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

"Dua akta itu menetapkan hukuman lebih berat jika mereka didapati bersalah," katanya.

Beliau turut menyeru semua mangsa di seluruh negara tampil membuat laporan polis.

"Ramai mangsa takut berbuat demikian kerana diugut oleh agen skim berkenaan, kononnya duit mereka akan lesap kalau membuat laporan polis.

"Kami berharap individu tersebut dikenakan tindakan tegas mengikut Akta (Larangan) Kumpulan Wang Kutu 1971 (Akta28) serta Seksyen 420 Kanun Keseksaan," tegasnya.

Dalam perkembangan sama, Presiden Pertubuhan Keprihatinan Jenayah Komuniti Malaysia (MCCC), Tan Sri Musa Hassan, berkata, kerjasama erat antara semua agensi perlu diwujudkan supaya pihak berkuasa dapat menjalankan tugas dengan cepat membanteras skim penipuan.

"Pihak berkuasa perlu bertindak tegas serta pantas, mangsa juga mahu mereka yang terlibat dalam aktiviti skim penipuan ini menerima hukuman berat," katanya.