Pencemaran bau: Bekalan air mula disalur di empat LRA

Seorang petugas LUAS mencium sampel air bagi mengesan pencemaran bau di muka sauk LRA Rantau Panjang, Bestari Jaya pada Ahad.
Seorang petugas LUAS mencium sampel air bagi mengesan pencemaran bau di muka sauk LRA Rantau Panjang, Bestari Jaya pada Ahad.
A
A
A

SHAH ALAM - Bekalan air di empat muka sauk Loji Rawatan Air (LRA) Rantau Panjang, Sungai Selangor Fasa 1 (SSP1), SSP 2 dan SSP 3 berjaya disalurkan setelah bacaan 0 ton direkodkan sebanyak tiga kali pada pagi Ahad.

Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dalam kenyataannya memaklumkan, sumber air mentah itu disalurkan semula ke LRA Rantau Panjang jam 1.30 pagi dan SSP 1, SSP 2 dan SSP 3 pada jam 2.15 pagi.

Menurut kenyataan, insiden itu berjaya dikawal segera dengan penyaluran air mentah daripada HORAS 600 dan kolam alternatif KL Larut yang meningkatkan pencairan sungai serta aliran tercemar melepasi kawasan muka sauk dengan cepat.

"Penutupan sementara muka sauk kesemua empat LRA berkaitan adalah sekitar 4 jam yang turut mengakibatkan henti tugas sementara LRA untuk tujuan kawalan dan pencegahan bagi mengelakkan kesan pencemaran lebih teruk kepada sistem LRA," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Kenyataan itu memberitahu, hasil semakan awal di keseluruhan lembangan Sungai Selangor insiden pencemaran bau dikenal pasti berkaitan bau tumpahan minyak diesel daripada aktiviti jentera berat.

"Siasatan lanjut akan dilaksanakan bagi memastikan permasalahan ini diselesaikan sepenuhnya di lapangan berkaitan dan sebarang maklumat akan dimaklumkan dari semasa ke semasa," jelas kenyataan itu.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan, sebanyak 1,335 kawasan di lapan wilayah di Selangor mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual berikutan empat LRA dihenti tugas berikutan insiden pencemaran bau dikesan di muka sauk LRA Rantau Panjang, Bestari Jaya pada Sabtu.

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) dalam kenyataannya memaklumkan, lapan wilayah itu membabitkan sebanyak 279 kawasan di Gombak; Hulu Selangor (28); Klang dan Shah Alam (189); Kuala Langat (tiga), Kuala Lumpur (186) dan Kuala Selangor (280) mengalami gangguan bekalan air.