Dulu meriah kini sunyi

A
A
A

TANGKAK - Rata-rata penduduk sekitar Durian Chondong dan Bukit Kepong di sini kecewa apabila tapak pelancongan yang pernah beroperasi sebelum ini terbengkalai.

Ujar mereka, pusat Eko-Pelancongan Durian Chondong yang aktif sekitar enam ke tujuh bulan kini sunyi apabila kerja pembinaan fasa dua tergendala.

Bagi anak jati di situ, Samsir Ahman, 49, berkata, kawasan tarikan menggunakan lokasi pulau kecil di situ bagi menjayakan pelbagai aktiviti sungai telah pun terhenti bermula April lalu sebelum ia terus sepi sehingga ke hari ini.

“Saya difahamkan yang siap ketika ini hanyalah fasa satu manakala fasa berbaki belum lagi dibina. Namun, dengan projek fasa satu ini, kawasan berhampiran tebing sungai yang berlatar belakangkan pulau kecil pernah diceriakan dengan pelbagai aktiviti.



Keadaan bangunan di Eko- Pelancongan Durian Chondong yang kini sepi tanpa pengunjung.

“Melalui projek fasa satu, sebuah bangunan di tebing dan sebuah lagi di atas pulau menjadi tarikan penduduk. Dahulunya, penduduk sempat gunakan Eko-Pelancongan Durian Chondong ini apabila diadakan pertandingan memancing beberapa siri oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), aktiviti menaiki bot sekali gus menjadi lokasi santai penduduk pada waktu petang,” katanya kepada Sinar Harian.

Ujar Samsir, bagaimanapun keadaan itu semakin berubah setelah pelbagai aktiviti tidak lagi dijalankan menyebabkan kawasan itu kini tidak diselenggara sehingga ditumbuhi semak-samun.

Sebagai penduduk tetap, Samsir akui terkilan kerana dia bersama penduduk berhampiran mengharapkan pusat pelancongan yang aktif di kawasannya.

“Penduduk berebut nak buka perniagaan di sini ketika lokasi ini masih peringkat cadangan. Bila lihat projek mulai berjalan, bertambahlah seronok kami sebab boleh jana pendapatan, ada aktiviti boleh dilakukan.

Artikel Berkaitan:

“Tapi bila terbiar macam ni, kami pun rasa sedih sebab hilang salah satu tempat menarik untuk kami beriadah. Harapan saya agar lokasi ini dapat diserikan semula dan menjadi antara kawasan utama orang luar untuk beriadah sekiranya berkunjung ke Bukit Kepong dan Durian Chondong,” ujarnya.

Dalam pada itu, Adun Bukit Kepong, Dr Sahruddin Jamal ketika mengadakan lawatan kerja di situ mengakui Eko-Pelancongan Durian Chondong merupakan lokasi yang berpotensi untuk pelbagai sektor.

Beliau yang Exco Kesihatan, Pertanian dan Alam Sekitar Johor berkata, dengan tarikan menu ikan baung, udang galah serta pelbagai lagi ikan sungai di kawasan itu menyebabkan nama Durian Chondong bukan asing.



Sahruddin (kanan) ketika meninjau Eko-Pelancongan Durian Chondong.

“Semua maklum di sini ada sebuah kedai makan ikan baung dan udang galah yang cukup terkenal. Jadi, agak rugi jika pelbagai tarikan tersedia, namun lokasi menarik tidak dibangunkan.

“Berdasarkan hasil dapatan, lokasi ini menjadi terbengkalai kerana peruntukan terlalu tinggi jika ia disiapkan sepenuhnya. Justeru, saya menganggap pihak berkaitan tidak mampu meneruskan projek ini kerana nilainya yang terlalu mahal.

“Bagaimanapun, kita akan cari semula penyelesaian bagi memastikan Eko-Pelancongan Durian Chondong bermanfaat untuk orang ramai. Pejabat pelancongan, PBT dan agensi berkaitan harus datang untuk tengok semula bagi mencapai kata putus,” katanya.

Tahun lalu, Sinar Harian melaporkan sebuah pulau seluas kira-kira 28hektar di Durian Chondong akan dimanfaatkan dengan pelbagai aktiviti berbentuk riadah bagi memberi pengalaman baharu kepada orang ramai menerokai habitat dan sumber asli yang terdapat di penempatan itu.

Melalui peruntukan yang diperoleh daripada Kerajaan Persekutuan bernilai RM2 juta sebelum ini, projek fasa pertama bagi penubuhan Pusat Eko-Pelancongan Durian Chondong itu telah pun beroperasi pada Ogos 2017.

Bagaimanapun, fasa kedua yang belum lagi dibina telah memperuntukkan kos keseluruhan sehingga RM6 juta dan menyebabkan pihak berwajib sebelum ini perlu mengambil masa untuk meneliti semula keperluan utama bagi memastikan peruntukan bernilai sekitar RM1 juta ke RM2 juta untuk peringkat awal pembinaan fasa dua kelak.