PM mahu golongan muda bangkit demi Malaysia Madani

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap di Dewan Canselor Universiti Selangor (UNISEL), Kampus Bestari Jaya - Foto Bernama
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap di Dewan Canselor Universiti Selangor (UNISEL), Kampus Bestari Jaya - Foto Bernama
A
A
A

KUALA SELANGOR - Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu generasi muda bangkit sebagai kekuatan baharu konsep Malaysia Madani dengan menolak fahaman jumud dan kolot yang hanya merugikan bangsa.

Ketika menyampaikan Syarahan Ulung Kursi Siddiq Fadzil-Reformasi Pendidikan Untuk Kesejahteraan Masa Depan Malaysia di Universiti Selangor, (Unisel) Kampus Bestari Jaya di sini pada Khamis, beliau mencabar anak muda untuk menyahut seruannya itu kerana beliau berkeyakinan tinggi akan kebolehan diri golongan itu.

"Anak-anak Melayu yang pintar bersama anak-anak Cina, India, Iban, Kadazan bangkit sebagai kekuatan bangsa yang pertahankan hak kita, pertahankan nilai, akhlak, pertahankan kebenaran dan keadilan, bangkit sebagai kekuatan baharu masyarakat Madani,” katanya.

Konsep Madani yang diperkenalkan Anwar secara rasmi pada 19 Januari lepas, diacu berteraskan enam rukun iaitu kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan dan Ihsan.

Pada majlis itu, Perdana Menteri turut mengumumkan peruntukan RM1 juta untuk Kursi Siddiq Fadzil bagi menyokong usaha memartabatkan pemikiran Allahyarham Prof Datuk Dr Siddiq Fadzil yang merupakan tokoh berpengaruh dalam bidang akademik.

Tahun lepas, kerajaan Selangor menubuhkan Kursi Siddiq Fadzil di Unisel dengan peruntukan RM1 juta bagi menggalakkan wacana keharmonian dan kesederhanaan.

Bagi melengkapkan penubuhan kursi tersebut, kerajaan negeri bersetuju menambah RM4 juta lagi sebagai menghargai ilmuwan berkenaan yang banyak berjasa kepada negara dalam memartabatkan bahasa Melayu dan agama Islam.

Allahyarham Dr Siddiq yang meninggal dunia pada 31 Ogos 2021 pernah dilantik sebagai Presiden Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya, Pengerusi Akademi Kajian Ketamadunan, Ahli Panel Akademi Pengurusan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM), Pengerusi Institut Darul Ehsan (IDE) dan Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Sains Islam Malaysia.

Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata, dalam usaha menyebarkan syiar Islam, masyarakat Islam seharusnya menjadi pendakwah dan bukannya sebagai penghukum terutamanya terhadap kumpulan yang tidak sependapat dengan mereka.

"Kita adalah penyeru, kita ini pendakwah... jangan kita ambil tugas kadi dan hakim dengan menghukum hanya kerana orang itu tidak sependapat dengan kita atau jika mereka daripada kabilah lain atau parti lain terus kita buat hukuman keras sepertimana kita lihat dalam media sosial seperti TikTok,” katanya.

Anwar berkata, Allahyarham yang merupakan sahabatnya itu sangat terkesan dengan situasi berkenaan terutamanya dalam kalangan orang muda yang mudah terikut dengan fahaman ekstrem. - Bernama.