Tangani segera isu menunggu lama untuk rawatan kecemasan

Sultan Sharafuddin (kiri) pada Majlis Perasmian Hospital Tanjong Karang di Selangor pada Khamis.
Sultan Sharafuddin (kiri) pada Majlis Perasmian Hospital Tanjong Karang di Selangor pada Khamis.
A
A
A

TANJONG KARANG - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) diminta menyelesaikan segera waktu menunggu terlalu lama di bahagian kecemasan hospital seluruh Selangor.

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah, tempoh masa menunggu terlalu lama mendapatkan perkhidmatan rawatan kesihatan memberi kesan kepada pesakit yang ingin mendapat rawatan dengan kadar segera.

"Masa menunggu untuk pembedahan serta rawatan lanjut juga ambil masa berbulan-bulan.

"Oleh itu, dipohon agar kelengkapan hospital dan klinik kesihatan hendaklah diutamakan di samping bilangan doktor dan jururawat pula hendaklah ditambah," titah baginda semasa Majlis Perasmian Hospital Tanjong Karang di sini pada Khamis.

Menurut Sultan Sharafuddin, baginda berkenan supaya perkhidmatan kesihatan yang diberikan di hospital perlulah mempunyai sistem pengurusan yang baik dan dikelolakan dengan cekap supaya dapat menambah kapasiti perkhidmatan kesihatan di negeri ini.

Jelas baginda, perkara itu juga menjurus kepada penyelenggaraan hospital supaya peralatan dan infrastruktur sentiasa dalam keadaan baik untuk memberikan perkhidmatan yang berkualiti tinggi kepada rakyat.

"Dalam pengurusan fasiliti, penyenggaraan bangunan secara berjadual dan pemantauan fasiliti secara berkala dapat meningkatkan jangka hayat bangunan hospital dan memberi faedah berterusan kepada penduduk setempat," titahnya.

Sultan Selangor bertitah, fasiliti kesihatan lebih baik itu membolehkan lebih ramai penduduk mendapat perkhidmatan efisien serta rawatan yang lebih efektif pada setiap masa.

"Sebagaimana yang kita semua sedia maklum, jumlah penduduk yang ada di negeri Selangor sekarang adalah lebih tujuh juta.

"Dengan bilangan penduduk yang paling ramai di Malaysia ini, sudah tentu ia memerlukan bilangan fasiliti kesihatan yang banyak di merata tempat serta mempunyai kemudahan peralatan terkini," ujar baginda.

Dalam pada itu Sultan Sharafuddin bertitah, baginda dimaklumkan bahawa negara menghadapi masalah kekurangan bekalan ubat yang kritikal pada pertengahan tahun 2022 disebabkan penutupan dan penyekatan oleh kerajaan China serta masalah perang di Rusia-Ukraine.

Menurut baginda, kerajaan terpaksa menyalurkan bekalan ubat selsema dan batuk kepada fasiliti kesihatan swasta kerana bekalan yang sangat berkurangan di pasaran.

"Dengan mengambil iktibar daripada isu tersebut, KKM perlu meningkatkan keselamatan bekalan perubatan negara untuk menangani sebarang isu berkaitan rantaian bekalan farmaseutikal global kerana Malaysia sangat bergantung kepada produk farmaseutikal yang diimport," jelas baginda.