Pengarah syarikat didakwa sogok pegawai polis lebih RM50,000

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Seorang pengarah syarikat pembinaan didakwa di Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu atas dua pertuduhan menawar dan memberikan suapan kepada seorang pegawai kanan polis supaya tidak mengambil tindakan terhadapnya kerana memiliki minyak diesel bersubsidi tanpa lesen, minggu lepas.

Mengikut pertuduhan pertama, Keh Teck Chuan, 53, didakwa secara rasuah menawarkan satu suapan berjumlah RM50,000 kepada seorang lelaki yang merupakan pegawai kanan polis berusia 39 tahun yang bertugas di Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor.

Bagi pertuduhan kedua, lelaki itu juga didakwa memberikan suapan berjumlah RM50,550 kepada pegawai polis sama.

Kedua-dua kesalahan itu dilakukan di sebuah gudang di Kampung Telok Gong, Pelabuhan Klang, dekat sini pada 11 malam dan 11.10 malam, 1 Februari lepas sebagai dorongan untuk pegawai polis berkenaan tidak mengambil tindakan atas kesalahan memiliki minyak subsidi tanpa lesen itu.

Teck Chuan didakwa mengikut Seksyen 17 (b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama.

Sabit kesalahan, dia boleh dihukum penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan yang menjadi hal perkara kesalahan itu jika suapan itu dinilai atau berbentuk wang, atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi.

Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Muaz Ahmad Khairuddin menawarkan jaminan RM50,000 bagi kedua-dua pertuduhan bersama penjamin dan syarat tambahan tertuduh perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melaporkan diri di pejabat SPRM setiap awal bulan.

Peguam, Regine Sin Yoke Gen yang mewakili Teck Chuan memohon jaminan anak guamnya dikurangkan antara RM30,000 dan RM40,000 kerana lelaki itu terpaksa menanggung kos rawatan ibunya berusia 88 tahun di hospital.

Hakim Norazlin Othman membenarkan jaminan keseluruhan RM40,000 bersama penjamin dan perlu melaporkan diri minggu pertama setiap bulan di pejabat SPRM Selangor.

Sebutan semula kes pada 9 Mac depan. - Bernama