Imam pun boleh tersasul bacaan terkejut dengar bunyi mercun

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

BARU-BARU ini, kerajaan membuat keputusan untuk membenarkan aktiviti pembakaran dan penjualan bunga api serta mercun dalam usaha meningkatkan pendapatan negara.

Langkah itu dijangka dapat menambah pendapatan negara hingga ratusan juta ringgit menerusi pengenaan duti import kepada pemegang lesen.

Begitu pun, banyak pihak menggesa kerajaan agar mengkaji semula keputusan itu bagi mengurangkan risiko kemalangan berkaitan bahan letupan berkenaan.

Apa yang dibimbangkan Merak Jalanan ialah kes-kes kemalangan sehingga putus jari akibat bermain mercun akan meningkat mendadak jika penjualan mercun dan bunga api dibenarkan apatah lagi umat Islam bakal meraikan Hari Raya Aidiladha pada April ini.

Ya lah, rakyat Malaysia ini ramai yang terlebih kreatif menghasilkan mercun buatan sendiri menggunakan belerang yang diambil daripada mercun dan bunga api, ramai yang telah hilang jari.

Kalau dah halal tidak lama lagi, tidak mustahil kemalangan akibat mercun buatan sendiri akan semakin menjadi-jadi kerana bunga api dan mercun akan lebih mudah didapati di pasaran.

Merak Jalanan memang telah lama tak membeli bunga api dan mercun ketika sambutan hari raya. Ditambah dengan harga barangan asas yang semakin melambung kini, terasa seperti membakar duit jika membeli mercun dan bunga api.

Lagi satu, hukum bermain mercun adalah haram dan wajib dijauhi oleh umat Islam. Perkara itu telah diperjelaskan Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri ketika beliau bergelar Mufti Wilayah Persekutuan.

Antara asas dan dalil pengharaman itu adalah mercun amat berbahaya, memberi mudarat kepada orang lain, berlaku banyak pembaziran, menyusahkan ramai orang dan pencemaran bunyi.

Dentuman mercun yang kuat bukan sahaja boleh menyebabkan bayi yang sedang tidur menangis, imam dan makmum yang sedang asyik solat tarawih ketika Ramadan juga boleh tersasul bacaannya terkejut dengan bunyi kuat mercun.