Sayur pula naik harga!

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

MERAK Jalanan akui tidak selalu membeli barangan basah untuk dimasak kerana kekangan masa dengan kerja-kerja harian dan selalu beli makanan yang sudah siap dimasak di kedai sahaja.

Begitu pun, ini tidak bermakna Merak Jalanan tidak mengetahui harga semasa barangan runcit hari ini.

Rasa Merak Jalananlah, sudah lama rakyat terbeban dengan isu-isu berkaitan barangan runcit ini seperti kenaikan harga barangan dan ini belum lagi barangan yang bekalannya tidak stabil dan sukar diperoleh seperti telur dan ayam.

Nampaknya pelbagai permasalahan ini belum lagi dapat diselesaikan walaupun sudah bertukar kerajaan dan menteri.

Persoalannya sampai bila rakyat akan ditabur dengan janji-janji palsu?

Selepas satu masalah timbul pula masalah lain dan terkini bekalan sayur pula berkurangan dan ini mengakibatkan kenaikan harga.

Adakah kali ini saranan seperti ‘kalau harga sayur naik, berhenti beli dan makan sayur’ pula akan dicadangkan kepada rakyat?

Sekiranya begini adakah penyudahnya nanti rakyat akan makan nasi berlaukkan air garam?

Jiran-jiran Merak Jalanan juga setiap hari merungut kerana sudahlah harga melambung tetapi barangan yang dijual tidak segar.

Peruncit juga ada kala dilihat terpaksa ‘menadah’ telinga mendengar pembeli membebel kerana barangan runcit ketiadaan stok dan harga naik.

Terbaharu, Merak Jalanan terbaca kerajaan ingin mewujudkan sistem data raya untuk mendapatkan maklumat secara masa nyata, sekali gus jalan penyelesaian jangka panjang membabitkan isu berkaitan bekalan sayur.

Tidakkah ini dilihat sudah terlambat? Bukankah sepatutnya ia diwujudkan dari dahulu lagi?

Yang pasti segalanya perlu disegerakan kerana rakyat hanya mampu bersuara tetapi tidak didengari.

Kerajaan juga sudah silih berganti dan permasalahan yang sama juga tidak dapat diselesaikan. Jadi fikir-fikirkanlah!