Kuota bukan Bumiputera ke matrikulasi bersifat one-off: Menteri

Dr Maszlee Malik
Dr Maszlee Malik
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menjelaskan kuota pengambilan pelajar ke program matrikulasi untuk bukan Bumiputera adalah bersifat 'one-off' berdasarkan keperluan dan kekosongan kuota Bumiputera yang tidak diisi.

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik berkata, matlamat asal program matrikulasi ialah untuk membangunkan potensi pelajar Bumiputera melalui pendidikan prauniversiti yang berkualiti bagi melahirkan modal insan yang cemerlang.

"KPM ingin memaklumkan bahawa penawaran 2,200 tempat kepada kaum India pada pengambilan tahun 2018 oleh kerajaan terdahulu adalah bersifat one-off.

"Hal yang sama juga dilaksanakan dalam penawaran 1,000 tempat untuk kaum Cina yang dibuat oleh Kerajaan PH pada tahun 2018 turut bersifat one-off," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya, pada tahun 2019 terdapat perubahan dalam dasar pengambilan ke Program Matrikulasi KPM selaras dengan harapan PH untuk memperkasakan golongan berpendapatan rendah (B40).

"KPM telah memperuntukkan 60 peratus tempat kepada pelajar dari golongan B40 dan baki 40 peratus akan diberi kepada golongan berpendapatan sederhana (M40) dah berpendapatan tinggi (T20).

"Perlaksanaan dasar baharu ini adalah lebih seimbang dengan memberi peluang kepada pelajar yang layak dan pada masa sama memberi fokus kepada golongan B40 secara bersasar," katanya.

Kenyataan ini dibuat setelah terdapat gesaan supaya KPM menjelaskan jumlah pengambilan pelajar ke program tersebut berdasarkan kuota kaum bagi tahun 2019.

Artikel Berkaitan:

Mengulas dengan lebih lanjut, Maszlee berkata, kerajaan mengambil maklum pandangan dan saranan yang dikemukakan oleh pelbagai pihak sejak keputusan kemasukan ke program tersebut diumumkan dan beliau menasihatkan agar calon yang tidak mendapat tawaran mengemukakan rayuan.