KLCAH harap kerajaan bantu rakyat hadapi tekanan kos sara hidup

KK Chai (dua dari kiri) dan Fahmi (tiga dari kiri) bersama tetamu khas menggaul yee sang sempena sambutan rumah terbuka Tahun Baharu Cina KLCAH pada Ahad.
KK Chai (dua dari kiri) dan Fahmi (tiga dari kiri) bersama tetamu khas menggaul yee sang sempena sambutan rumah terbuka Tahun Baharu Cina KLCAH pada Ahad.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan harus melaksanakan pelbagai inisiatif untuk membantu rakyat yang terjejas dengan tekanan kos sara hidup.

Presiden Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur (KLCAH), Datuk Seri Dr KK Chai berkata, Jabatan Insolvensi Malaysia (MDI) melaporkan lebih 10,507 individu berusia 25 hingga 34 tahun diisytihar muflis.

Menurutnya, kebanyakan ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berumur 55 tahun ke bawah pula dilaporkan mempunyai wang simpanan yang rendah iaitu kurang RM10,000 dalam akaun mereka.

"Situasi itu membimbangkan. Ini dihadapi rakyat sepanjang tempoh tiga tahun kesan penularan Covid-19.

"Kerajaan harus melaksanakan inisiatif membantu rakyat dalam Bajet 2023 susulan tekanan kos sara hidup kini amat menjejaskan kehidupan seharian rakyat," katanya sempena Majlis Pelancaran Pejabat Baru KLCAH di Maju Link Bandar Tasik Selatan pada Ahad.

Majlis turut dimeriahkan dengan sambutan rumah terbuka Tahun Baharu Cina 2023 yang disempurnakan oleh Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil.

Beliau yakin pentadbiran di bawah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mampu membawa kestabilan dan keharmonian ke arah Malaysia yang lebih baik.

"Kita tidak patut membuang masa dengan membangkitkan isu perkauman dan perkara sensitif yang boleh mempengaruhi keyakinan pelabur dan pelancong yang akhirnya merugikan kita sendiri.

"Saya harap semangat perpaduan dan persefahaman antara kaum dapat dikekalkan dalam menghadapi cabaran ekonomi dan sama-sama membangunkan negara," katanya.

Mengenai KLCAH, beliau berkata, KLCAH meraikan ulang tahun ke-20 pada tahun ini dan telah berpindah ke pejabat baharu di Maju Link, Bandar Tasik Selatan.

"Hartanah ini bernilai RM1.09 juta dengan jumlah keseluruhan selepas diubah suai adalah RM1.5 juta. Lokasi ini strategik kerana bersebelahan dengan Terminal Bersepadu Selatan (TBS).

"Kami menyediakan ruang pejabat yang selesa di mana orang ramai dapat menganjurkan majlis sosial, mesyuarat, seminar, aktiviti pelancaran dan lain-lain," katanya.

Malah katanya, pejabat baru itu juga boleh berfungsi sebagai pusat operasi untuk ahli KLCAH menyalurkan bantuan kewangan dan menganjurkan program kebajikan kepada golongan kurang berkemampuan.