Larangan pemanduan pada hujung minggu ditangguhkan

Sesi libat Urus dengan pelbagai pihak berkaitan pada Jumaat yang turut disertai Chi Yang (12 dari kanan).
Sesi libat Urus dengan pelbagai pihak berkaitan pada Jumaat yang turut disertai Chi Yang (12 dari kanan).
A
A
A

CAMERON HIGHLANDS - Pekebun dan pengusaha logistik yang resah sebelum ini boleh menarik nafas lega selepas Jabatan Kerja Raya (JKR) daerah itu menangguhkan pelaksanaan larangan pemanduan kenderaan barangan di Cameron Highlands pada hujung minggu.

Kementerian Kerja Raya sebelum ini mengumumkan kenderaan komersial dilarang menggunakan sebahagian jalan persekutuan di Cameron Highlands mulai 10 pagi hingga 3 petang pada hujung minggu, cuti umum dan cuti sekolah bermula 7 Februari ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanah Rata, Ho Chi Yang memberitahu, beliau menyambut baik keputusan tersebut.

"Pada masa sama, saya memohon pihak Kementerian Kerja Raya agar meneliti pendapat pengusaha logistik dan pekebun terlibat.

"Ia untuk menggelakkan perubahan polisi yang akan membawa impak negatif besar terhadap pasaran sayuran dan menjejaskan rangkaian bekalan makanan negara ini," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Ujar beliau, sebelum ini JKR Cameron Highlands telah mengadakan sesi libat urus pada Jumaat mengenai cadangan larangan tersebut.

"Para pekebun dan pengusaha logistik telah dijemput untuk memberi pendapat berkenaan cadangan larangan itu.

"Setelah sesi libat urus, difahamkan bahawa JKR tidak akan melaksanakan larangan pemanduan buat masa sekarang dan akan terus mengumpul maklumat terperinci daripada para pengusaha sebelum menghantar data dan maklumat kepada pihak kementerian," jelas beliau.

Chi Yang juga memberitahu, sebelum sesi libat urus tamat, hampir 40 salinan surat bantahan daripada pertubuhan pertanian, para pekebun, dan pengusaha logistik diserahkan kepada Jurutera Daerah (JD) JKR.

"Saya turut memohon jasa baik JD agar meneliti surat-surat demi memahami kemelut pekebun dan pengusaha logistik serta impak larangan pemanduan kenderaan yang mungkin menjejaskan bekalan sayuran di pasaran," kata beliau.

Dalam pada itu, Chi Yang memohon agar pihak JKR untuk memberi pencerahan terhadap beberapa persoalan berkaitan.

"Adakah JKR akan menjalankan kajian yang menyeluruh dan teruskan inisiatif untuk meninjau pendapat para pekebun, pengusaha logistik, dan pertubuhan pertanian?

"Adakah JKR akan meninjau pendapat pakar seperti pakar perancangan bandar, pengangkutan, dan sekuriti makanan.

"Adakah JKR mempunyai kajian dan data yang boleh membuktikan bahawa larangan pemanduan kenderaan sayuran tidak akan menjejaskan rangkaian bekalan makanan dan bekalan sayuran di pasaran?," tegas beliau.

Ujar Chi Yang, perkara itu perlu diambil serius berikutan sayuran merupakan keperluan utama dan barang yang mudah rosak.

"Sebab itu ia perlulah dihantar ke pasaran di seluruh Malaysia. Jika tidak, kesegaran sayuran dan bekalan sayuran juga akan terjejas," jelas Chi Yang.

Tambah beliau, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pernah mengumumkan bahawa sekuriti makanan merupakan antara fokus utama dalam Bajet 2023 serta menunjukkan komitmen untuk menyelesaikan masalah kekurangan tenaga buruh dalam sektor pertanian.

"Memandangkan kerajaan mementingkan pembangunan pertanian, kementerian dan jabatan berkenaan seharusnya menimbangkan semula larangan pemanduan tersebut.

"Ia agar memelihara usaha kerajaan untuk meningkatkan tahap sekuriti makanan dan tidak menjejaskan kepentingan semua pihak termasuk pekebun, pengusaha logistik, pemborong, serta para pengguna di seluruh Malaysia," ujar Chi Yang lagi.