Kelonggaran etika pakaian di balai polis jika kecemasan

Acryl Sani Abdullah Sani menghadiri program 'hiking' bersama Polis Diraja Malaysia di Taman Persekutuan Bukit Kiara, di sini, pada Sabtu.
Acryl Sani Abdullah Sani menghadiri program 'hiking' bersama Polis Diraja Malaysia di Taman Persekutuan Bukit Kiara, di sini, pada Sabtu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Etika berpakaian bagi orang ramai membuat laporan di balai polis boleh diberi kelonggaran berdasarkan jenis kecemasan.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, etika berpakaian untuk orang awam berurusan di balai polis adalah berdasarkan arahan Ketua Setiausaha Negara.

"Kita mahu menunjukkan kepada masyarakat bahawa orang ramai yang berurusan di pejabat kerajaan dalam keadaan yang tertib dan sopan.

"Kita boleh membuat kelonggaran (etika berpakaian) berdasarkan jenis kecemasan yang dihadapi pengadu ketika membuat laporan di balai polis,” katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri program 'hiking' bersama Polis Diraja Malaysia di Taman Persekutuan Bukit Kiara, di sini, pada Sabtu.

Acryl Sani mengulas kejadian seorang wanita berang selepas dihalang daripada memasuki Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang kerana memakai seluar pendek di atas paras lutut pada Isnin.

"Saya difahamkan, pengadu tersebut memakai seluar pendek, anggota polis yang bertugas telah menasihatinya menukar pakaian yang lebih sopan, mungkin telah berlaku salah faham dalam kejadian itu," katanya.

Pada Selasa, Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan dilaporkan berkata, wanita berusia lingkungan lewat 30-an berkenaan hadir ke IPD Kajang untuk membuat laporan berhubung satu kemalangan jalan raya.

Anggota polis mendapati wanita berkenaan memakai seluar pendek paras paha (di atas paras lutut) dan telah menasihatinya supaya menukar seluar yang lebih sesuai selaras etika pemakaian di premis kerajaan.

Anggota bertugas sekali lagi menasihatinya secara berhemah dan memintanya menukar seluar yang lebih sesuai jika ingin berurusan di balai polis.

Wanita terbabit kemudiannya telah memandu keluar dari balai sebelum datang semula sekitar 15 minit ke 20 minit kemudian bersama dua rakan dan didapati telah memakai seluar panjang.

Kejadian itu tular selepas ia dilaporkan oleh sebuah portal media tempatan yang memuat naik gambar wanita itu berseluar panjang sambil mendakwa wanita terbabit dilarang masuk walaupun memakai pakaian bersesuaian.