Wanita berseluar pendek berang dilarang masuk IPD Kajang

No Image Caption
A
A
A

KAJANG - Seorang wanita tempatan berang selepas dihalang daripada memasuki Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di sini kerana memakai seluar pendek di atas paras lutut pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, wanita berusia lingkungan lewat 30-an berkenaan hadir ke IPD untuk membuat laporan berhubung satu kemalangan jalan raya.

"Kira-kira jam 10.30 pagi, seorang wanita dalam lingkungan umur 35-40 tahun yang menaiki sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) telah datang ke IPD Kajang memaklumkan ingin membuat laporan polis berkaitan kemalangan kereta.

"Anggota sentri mendapati wanita berkenaan memakai seluar pendek paras paha (di atas paras lutut) dan telah menasihatinya supaya menukar seluar yang lebih sesuai selaras etika pemakaian di premis kerajaan," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Mohd Zaid berkata, wanita terbabit bagaimanapun enggan mendengar arahan anggota bertugas malah membuat provokasi terhadap anggota berkenaan.

"Anggota bertugas sekali lagi menasihatinya secara berhemah dan memintanya menukar seluar yang lebih sesuai jika ingin berurusan di balai polis.

"Wanita terbabit kemudiannya telah memandu keluar dari balai sebelum datang semula sekitar 15 ke 20 minit kemudian bersama dua rakan dan didapati telah memakai seluar panjang," katanya.

Beliau berkata, kejadian itu tular selepas ia dilaporkan oleh sebuah portal media tempatan yang memuat naik gambar wanita itu berseluar panjang sambil mendakwa wanita terbabit dilarang masuk walaupun memakai pakaian bersesuaian.

"Pemakaian seluar panjang sebagaimana di dalam gambar yang tular adalah setelah dia menukar seluar selepas dinasihatkan oleh anggota bertugas.

"Untuk makluman IPD Kajang berurusan dengan orang ramai dalam anggaran 300 orang dalam sehari dan tiada apa-apa masalah yang timbul mengenai isu pakaian.

"Gambar etika pakaian pelawat ketika berurusan dalam premis kerajaan juga dilekatkan pada pos kawalan sebagai rujukan," ujar beliau.