Ibu tunggal terlepas tali gantung edar dadah

Huda Humairah (tengah) terlepas hukuman gantung di Mahkamah Tinggi, pada Rabu.
Huda Humairah (tengah) terlepas hukuman gantung di Mahkamah Tinggi, pada Rabu.
A
A
A

MELAKA - Seorang ibu tunggal terselamat daripada tali gantung selepas dilepaskan oleh Mahkamah Tinggi, di sini pada Rabu atas enam daripada tujuh tuduhan mengedar pelbagai jenis dadah seberat 1.2 kilogram, lima tahun lalu.

Hakim Datuk Anselm Charles Fernandis membuat keputusan itu pada akhir pendakwaan ke atas Karen Liang Moi Yin, 43 tahun, selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie walaupun telah memanggil seramai 19 saksi.

Pendakwaan gagal membuktikan wujud kes prima facie terhadap tertuduh mengedar pelbagai jenis dadah seberat 1.6 kilogram ketika bahan terlarang itu ditemui di dalam sebuah bilik pangsapuri.

Mengikut pertuduhan, tertuduh atau nama Islamnya, Huda Humairah Liang didakwa mengedar dadah jenis methamphetamine seberat 1.2 kilogram di sebuah bilik pangsapuri di Jalan Persisiran Bunga Raya, Melaka pada jam 4.30 pagi, 13 Oktober 2018.

Atas kesalahan itu, dia didakwa di bawah Seksyen 39B (1) (a) Akta Dadah Berbahaya, ADB 1952 yang boleh dihukum mati mandatori jika sabit kesalahan.

Mahkamah turut membebaskan Huda Humairah daripada dua tuduhan mengedar dadah seberat 388 gram masing-masing di bawah Seksyen 12 (2) ADB 1952 dan Seksyen 9 (1) Akta Racun 1952.

Bagi Seksyen 12(2) ADB 1952 tertuduh boleh didenda RM100,000 atau penjara lima tahun atau kedua-duanya sekali malah tertuduh turut boleh didenda RM3,000 atau penjara setahun di bawah Seksyen 9(1) Akta Racun 1952.

Perbuatan itu dilakukan tertuduh di tempat, masa dan tarikh sama.

Hakim Anselm Charles bagaimanapun menjatuhkan hukuman penjara empat tahun ke atas tertuduh selepas didapati bersalah memiliki dadah jenis methamphetamine seberat 20.25 gram di bawah Seksyen 12 (2) ADB 1952 selain diperintah menjalani hukuman itu bermula dari tarikh dia ditangkap iaitu pada 13 Oktober 2018.

Pendakwaan dikendali Timbalan Pendakwa Raya, Nabil Alif Mohd Rosli manakala tertuduh diwakili Quek Kia Ping.

Sepanjang perbicaraan berlangsung bermula 15 September 2020 tiga saksi pembelaan juga dipanggil untuk memberi keterangan.