'Jangan tunduk desakan peneroka haram' - PN Pahang

Rosli (tiga dari kiri) pada sidang akhbar di Pejabat PN Pahang di Jalan Gambang pada Rabu.
Rosli (tiga dari kiri) pada sidang akhbar di Pejabat PN Pahang di Jalan Gambang pada Rabu.
A
A
A

KUANTAN - Kerajaan Pahang digesa agar tidak tunduk dengan sebarang desakan mahu pun tuntutan daripada mana-mana pihak termasuk rakan dalam kerajaan campuran berhubung isu pekebun durian musang king di Raub.

Gesaan itu dibuat Perikatan Nasional (PN) Pahang susulan kebimbangan mereka terhadap desakan Ahli Parlimen Raub, Chow Yu Hui yang menggesa kerajaan Pahang mengkaji semula dasar pajakan tanah kepada pihak Royal Pahang Durian Resources PKPP Sdn Bhd (RPDR-PKPP).

Timbalan Pengerusi PN negeri, Rosli Abdul Jabar berkata, tindakan pekebun terbabit jelas mencabar kedaulatan negeri Pahang apatah lagi pencerobohan tersebut sememangnya jelas berlaku.

Justeru, kerajaan Pahang perlu bertegas terhadap isu membabitkan penerokaan tanah secara haram tanpa mengaitkan kepentingan politik dalam pembentukan kerajaan di negeri ini.

"Kita bimbang kepentingan politik, salah satu daripada dua parti itu mengambil kesempatan di sebalik gabungan ini untuk membuka tanah-tanah haram

"Kita bimbang PH (Pakatan Harapan) pada 5 Julai lalu (2021) DAP yang paling mempertahankan isu tanah haram. Jadi (bila) mereka berada dalam kerajaan, kita bimbang gabungan ini diambil kesempatan mengaut kembali tanah haram yang diputuskan Mahkamah Tinggi Kuantan yang menolak permohonan 204 pekebun untuk mengetepikan notis pengosongan tanah oleh pihak pentadbir tanah negeri, tiga tahun lalu," katanya pada sidang akhbar di Pejabat PN Pahang pada Rabu.

Jumaat lalu, Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menasihatkan pekebun durian musang king di Sungai Ruan, Sungai Chalit, Sungai Klau dan Tranum di dalam daerah Raub agar mempertimbangkan semula berhubung permohonan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi Kuantan sama ada untuk meneruskan atau sebaliknya.

Katanya, sebagai Menteri Besar bagi Kerajaan Perpaduan Barisan Nasional (BN) dan PH, beliau berpandangan bahawa tanah-tanah yang dipertikaikan adalah dengan jelasnya merupakan tanah kerajaan negeri.

Namun pada Sabtu, Yu Hui dalam satu kenyataan menjelaskan pekebun-pekebun durian musang king daerah Raub sentiasa bersikap terbuka dan bersedia untuk mengadakan perbincangan dengan kerajaan negeri.

Yu Hui yang juga penasihat Save Musang King Alliance (SAMKA) berkata, pihaknya mengalu-alukan sekiranya kerajaan Pahang sudi menganjurkan dialog awam untuk membuka peluang kerjasama yang berbentuk menang-menang.

Dalam pada itu, Rosli yang juga Pesuruhjaya Pas Pahang berkata, perkara itu dibangkitkan semula selepas pembentukan Majlis Penasihat Kerajaan Campuran Pahang sekali gus menunjukkan ada usaha pihak tertentu untuk meraih kepentingan dalam kerajaan hari ini.

Menurutnya, berdasarkan rekod, terdapat 4, 400 hektar tanah yang diusahakan sebagai ladang durian di Raub adalah berstatus haram dan diusahakan tanpa sebarang kebenaran bertulis daripada kerajaan negeri.

“Keadaan ini sudah tentu mendatangkan impak kerugian hasil tanah bernilai puluhan juta ringgit kepada kerajaan Pahang.

"Justeru, PN Pahang menyokong supaya hasil ekonomi daripada industri durian dipulangkan semula kepada kerajaan negeri melalui anak syarikat kerajaan negeri,” ujarnya.

Beliau berkata, kerajaan Pahang tidak perlu takut dengan gesaan dan ugutan pihak tertentu walaupun rakan dalam kerajaan campuran kerana isu pencerobohan tanah adalah tindakan yang mencabul kedaulatan negeri dan rakyat secara umum.

Tegasnya, penceroboh perlu dikenakan tindakan yang sewajarnya seperti mana yang dikenakan kepada pihak lain yang melakukan kesalahan sama.

“Penyelesaian yang adil hendaklah diusahakan oleh kerajaan negeri dalam menangani semua isu pencerobohan tanah mengikut lunas dan batas undang-undang.

“Isu ini akan menjadi antara isu yang akan dibangkitkan PN dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) yang akan berlangsung Mac depan,” katanya.

Mahkamah Tinggi Kuantan pada 23 Disember 2020 menolak kebenaran semakan kehakiman difailkan 204 pekebun Musang King Raub bagi mengetepikan notis pengosongan tanah dikeluarkan kerajaan Pahang pada Ogos 2020.

Sebelum ini, dua notis permohonan semakan kehakiman difailkan di mahkamah sama pada 21 Ogos dan 9 Disember 2020.

Semua 204 pekebun itu memfailkan permohonan dengan menamakan enam responden antaranya Pentadbir Tanah Daerah Raub, Pengarah Perhutanan Pahang, pihak berkuasa negeri, kerajaan Pahang dan RPDR-PKPP.