Pekebun durian Raub: Timbang semula tindakan semakan kehakiman

Laporan Sinar Harian Disember 2020. Wan Rosdy - Foto Bernama
Laporan Sinar Harian Disember 2020. Wan Rosdy - Foto Bernama
A
A
A

KUANTAN - Kerajaan negeri menasihatkan pekebun durian musang king di Sungai Ruan, Sungai Chalit, Sungai Klau dan Tranum di dalam daerah Raub agar mempertimbangkan semula berhubung permohonan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi Kuantan sama ada untuk meneruskan atau sebaliknya.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, sebagai Menteri Besar bagi Kerajaan Perpaduan BN dan Pakatan Harapan (PH), beliau berpandangan bahawa tanah-tanah yang dipertikaikan adalah dengan jelasnya merupakan tanah kerajaan negeri.

Menurutnya, berdasarkan Sistem Torrens (diguna pakai di dalam sistem pentadbiran tanah Malaysia), ia merupakan hak milik yang tidak boleh disangkal (indefeasibility of title) walaupun dalam konteks equity.

"Jadi saya berharap agar pekebun-pekebun yang terlibat dapat bertindak secara matang untuk kebaikan bersama," katanya dalam satu kenyataan di laman Facebook miliknya pada Jumaat.

Sebelum ini, dua notis permohonan semakan kehakiman telah difailkan di Mahkamah Tinggi di mana kumpulan pertama melibatkan 110 pekebun memfailkannya pada 21 Ogos 2020 dan seterusnya kumpulan kedua membabitkan 94 pekebun pada 9 Disember tahun sama.

Kesemua pekebun yang melibatkan tanah seluas kira-kira 2,167 hektar itu memfailkan permohonan dengan menamakan enam responden iaitu Pentadbir Tanah Daerah Raub, Pengarah Perhutanan Pahang, pihak berkuasa negeri, kerajaan Pahang, PKPP dan Royal Durian Resources PKPP Sdn Bhd.

Pada 1 Ogos 2020 lalu, kerajaan Pahang mula bertindak tegas dalam menangani kegiatan pengusaha kebun durian yang diusahakan secara haram di atas tanah kerajaan negeri di Raub.

Situasi tersebut menyebabkan kerajaan negeri telah mengalami kerugian kira-kira RM30 juta dalam tempoh 10 tahun akibat kehilangan hasil cukai daripada penerokaan kebun haram termasuk di kawasan hutan simpan.

Antara kawasan dusun durian di Raub yang terbabit ialah Hutan Simpan Gunung Benom, di sekitar Sungai Ruan, Sungai Chalit serta Tranum dan Tras.