Semakan kehakiman: Pekebun durian sentiasa bersikap terbuka

Chow Yu Hui (Laporan Sinar Harian pada Jumaat.)
Chow Yu Hui (Laporan Sinar Harian pada Jumaat.)
A
A
A

RAUB - Pekebun-pekebun durian musang king daerah Raub sentiasa bersikap terbuka dan bersedia untuk mengadakan perbincangan dengan kerajaan negeri bagi suatu penyelesaian berbentuk menang-menang.

Ahli Parlimen Raub, Chow Yu Hui menegaskan hal tersebut susulan kenyataan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail yang meminta agar pekebun durian musang king di Sungai Ruan, Sungai Chalit, Sungai Klau dan Tranum di dalam daerah Raub mempertimbangkan semula permohonan semakan kehakiman sebagaimana dimuat naik di Facebook beliau pada Jumaat.

Yu Hui yang juga penasihat Save Musang King Alliance (SAMKA) berkata, pihaknya mengalu-alukan sekiranya kerajaan Pahang sudi menganjurkan dialog awam untuk membuka peluang kerjasama yang berbentuk menang-menang.

Menurutnya, langkah tersebut penting agar industri durian dapat dimajukan ke suatu kemuncak baharu.

"Pekebun-pekebun musang king Raub tanpa permit ini telah memberi sumbangan besar kepada industri durian Malaysia sehingga menjadikan Raub sebagai bandar musang king yang terkenal di seluruh dunia.

"Pekebun-pekebun yang mula mengusahakan di tanah terbiar pada tahun 1960-an tersebut sebenarnya sudi membayar cukai tanah yang tertunggak sejak zaman mereka bercucuk tanam supaya meningkatkan pendapatan kerajaan negeri," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Yu Hui berkata, kebanyakan mereka mula memohon permit penanaman sejak tahun 1960-an dan pihak kerajaan tempatan juga berpengetahuan tentang kewujudan mereka selain tidak pernah mengambil tindakan.

"Perlu diingatkan bahawa pekebun-pekebun tidak pernah membantah untuk membayar cukai tanah kepada kerajaan negeri ataupun bekerjasama dengan kerajaan negeri, bantahan mereka adalah berkenaan syarat-syarat skema pihak Royal Pahang Durian Resources PKPP Sdn Bhd (RPDR-PKPP) yang tidak menghargai titik peluh pekebun-pekebun durian.

"Antara syarat-syarat skema pihak RPDR-PKPP yang tidak munasabah adalah penentuan harga tetap durian yang jauh lebih rendah daripada harga pasaran.

"Pekebun-pekebun juga dikehendaki menjual kebanyakan hasil durian kepada korporat swasta terbabit secara mandatori," ujarnya.

Tambahnya, hal tersebut berkemungkinan mendorong kepada monopoli pasaran durian oleh korporat terbabit sekali gus akan menjejaskan seluruh industri durian termasuk kilang-kilang durian yang sedia ada di kawasan Raub dan Pahang.

Mengulas tindakan pekebun menjalankan tindakan semakan kehakiman, beliau berkata, ia adalah bertujuan untuk menuntut keadilan dan membela hak mereka dalam aspek perundangan.

"Walau bagaimanapun, atas semangat rundingan dan demi kebajikan rakyat, saya meminta Menteri Besar yang mengetuai Kerajaan Perpaduan yang baharu untuk mengkaji semula dasar pajakan tanah kepada pihak RPDR-PKPP.

"Beliau juga perlu mempertimbangkan pandangan Pakatan Harapan(PH) Pahang dalam menyelesaikan kemelut ini sebelum meminta pekebun mempertimbangkan semula tindakan semakan kehakiman," jelasnya.

Sementara itu, beliau juga memberitahu pendirian PH Pahang berkenaan isu musang king ataupun isu pekebun tanpa permit adalah konsisten.

"Kerajaan Pahang perlu bertimbang rasa terhadap pekebun-pekebun yang telah mengusahakan ladang musang king sejak beberapa dekad lalu.

"Anak jati Pahang tetapi bukan korporat swasta, perlu diutamakan dan dijadikan rakan strategik dalam menjayakan industri musang king dalam negeri," tegasnya.