53 peratus penyakit kusta dilaporkan di Pekan

Mohammad Fakhruddin ketika pertemuan bersama Harjeet Singh di Putrajaya, pada Selasa.
Mohammad Fakhruddin ketika pertemuan bersama Harjeet Singh di Putrajaya, pada Selasa.
A
A
A

KUANTAN - Sebanyak 53 peratus daripada 38 kes penyakit kusta di Pahang dilaporkan di Pekan pada tahun lalu.

Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan negeri, Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff menjelaskan, walaupun keadaannya masih terkawal, namun penyakit itu tidak boleh dipandang ringan.

Justeru, kata beliau, rawatan Rifampicin Dos Tunggal (SDR) telah diberi sejak tahun lalu di negeri ini.

"Penyakit ini boleh sembuh dengan rawatan yang sempurna. Jadi, kontak rapat kepada kes kusta atau individu menetap di lokaliti endemik yang menunjukkan tanda dan gejala kusta perlu segera dapatkan pengesahan di fasiliti kesihatan terdekat.

"Kerajaan Pahang memandang serius akan penyakit Kusta dan terus tingkatkan usaha bersama Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP) bagi memastikan rakyat terhindar penyakit ini.

"Saya sangat berharap mereka yang mempunyai gejala Kusta akan memberikan kerjasama yang baik dan segeralah mendapatkan rawatan kesihatan," katanya pada RABU.

Dalam perkembangan lain, Mohammad Fakhruddin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bebar berkata, lapan isu penting berkaitan kesihatan Pahang telah dibawa ke perhatian Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menerusi pertemuan Ketua Setiausaha (KSU) KKM, Datuk Harjeet Singh Hardev Singh pada Selasa.

Beliau berkata, antara perkara yang dibangkitkan ialah keperluan mendesak untuk menaik taraf, membaiki dan menggantikan lebih kurang 61 buah Klinik-klinik Kesihatan lama serta daif di seluruh Negeri ini

Tambahnya, keperluan tambah baik perkhidmatan sokongan klinik (PSK) melibatkan Diagnostik, Fisioterapi, pemeriksaan X-ray, Dietetik, Farmasi, Makmal dan Rawatan Pemulihan (Psikologikal) di Klinik-klinik Kesihatan di Pahang.

"Fasiliti Kesihatan negeri di bawah program Medical Equipment Enhancement Tenure (MEET) melibatkan penyelenggaraan dan pembekalan peralatan perubatan untuk 468 fasiliti (perubatan atau pergigian) perlu dipertingkatkan.

"Saya turut mengadakan perbincangan semula projek-projek di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 yang dibatalkan atau belum dilaksanakan di seluruh Pahang," ujar beliau.

Di samping itu, Mohammad Fakhruddin memaklumkan, JKNP juga akan meminta penambahan mesin-mesin dialisis di klinik-klinik kesihatan yang kini menampung ramai pesakit buah pinggang dan lain-lain klinik difikirkan perlu, termasuk kawasan luar bandar.

"Status semasa keperluan fasiliti dan Kesihatan di Pulau Tioman juga perlu diberikan perhatian oleh KKM termasuk menaik taraf Klinik Kesihatan Tekek (KK) dengan wad pemerhati dan peluang penyediaan perkhidmatan Hyperbaric Chamber serta lain-lain keperluan kesihatan untuk penduduk Pulau Tioman.

"Saya turut bertanyakan status semasa projek Terapi Okupasi, Hospital Sultanah Hajjah Kalsom (HoSHKA) di Cameron Highlands.

"Keperluan tambahan perkhidmatan Ambulans di Klinik-klinik Kesihatan yang ramai pesakit dan memerlukan termasuk di kawasan luar bandar," katanya yang telah memperincikan keperluan mendesak JKNP untuk rakyat di Pahang.