‘Pelantikan Nurul Izzah tak baik buat Anwar’

Muhammad (kiri) ketika membentangkan keputusan CPI 2022 di ibu negara pada Selasa.
Muhammad (kiri) ketika membentangkan keputusan CPI 2022 di ibu negara pada Selasa.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Transparency International Malaysia (TI-M) mempersoalkan tindakan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang melantik anaknya, Nurul Izzah sebagai Penasihat Kanan Ekonomi dan Kewangan Perdana Menteri.

Presiden TI-Malaysia (TI-M), Dr Muhammad Mohan berkata, perkara itu tidak baik buat Anwar kerana beliau sebelum ini bercakap menentang kronisme dan nepotisme.

“Pandangan kami ialah ia memberikan isyarat yang salah dan saya khuatir jika ia tidak dibetulkan, faktor itu akan termasuk dalam Indeks Persepsi Rasuah di sini.

“Ia disebabkan semua ini adalah tentang persepsi. Persepsi hari ini, nepotisme telah kembali dan ia adalah tidak baik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan keputusan Indeks Persepsi Rasuah (CPI) Malaysia tahun 2022 di ibu negara pada Selasa.

Nurul Izzah sebelum ini mendedahkan bahawa beliau telah dilantik sebagai Penasihat Kanan Ekonomi dan Kewangan kepada Perdana Menteri yang berkuatkuasa 3 Januari lalu.

Muhammad dalam masa sama turut berharap Anwar akan melihat semula pelantikan Nurul Izzah dan melakukan sesuatu mengenainya.

“Mungkin tidak perlu dilaporkan padanya kerana ini akan menunjukkan konflik kepentingan,” ujarnya.

Beliau juga berpandangan bahawa Anwar terdesak dan perlukan bantuan daripada orang ramai dengan apa yang berlaku di peringkat bawahan serta menolongnya.

“Saya harap Perdana Menteri akan campur tangan dan lakukan pelarasan agar kita tidak kehilangan bakat Nurul Izzah,” jelasnya.