Ahli perniagaan tak mengaku salah buat tuntutan palsu RM267,400

Mohd Azmi (dua dari kiri) didakwa di Mahkamah Sesyen Melaka pada Selasa.
Mohd Azmi (dua dari kiri) didakwa di Mahkamah Sesyen Melaka pada Selasa.
A
A
A

MELAKA - Seorang ahli perniagaan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, pada Selasa atas sembilan tuduhan mengemukakan dokumen palsu kepada Pertubuhan Keselamatan sosial (Perkeso) bagi menuntut insentif Program Penjana Kerjaya 2.0 melibatkan nilai RM267,400.

Bagaimanapun tertuduh, Mohd Azmi Mat Sah, 55, mengaku tidak bersalah setelah pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan.

Berdasarkan pertuduhan pertama hingga ketiga, tertuduh selaku pemilik DRAZZ Global Resourses dengan niat memperdayakan Perkeso Melaka telah mengemukakan tiga nama individu berbeza dalam Borang Pengesahan Pekerja yang bukan kakitangan syarikat berkenaan untuk menuntut insentif di bawah Program Penjana 2.0 berjumlah RM13,200.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Pejabat DRAZZ Global Resources, Kompleks Perniagaan Limbongan di sini, pada 5 Jun 2021.

Pertuduhan mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (2) akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali nilai butir palsu itu atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan keempat hingga kesembilan, tertuduh didakwa dengan secara tidak jujur telah menyalahgunakan harta milik Perkeso untuk diri sendiri melibatkan wang berjumlah RM254,200 yang merupakan wang Bantuan Penjana Kerjaya 2.0.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Maybank Cawangan Melaka Raya, Taman Melaka Jaya di sini, pada 3 Ogos 2021 hingga 24 Februari tahun lalu.

Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Irwan Shah Mohd Azmi menawarkan jaminan RM50,000 dengan seorang penjamin dengan syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah selain tertuduh perlu melaporkan diri di pejabat SPRM Melaka setiap bulan.

Tertuduh yang diwakili peguam Azrul Zulkifli Stork merayu jaminan RM30,000 dan memberi alasan masih menanggung isteri, menantu dan empat cucu.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM40,000 dengan seorang penjamin dan bersetuju dengan syarat tambahan tersebut.

Mahkamah menetapkan 10 Mac depan sebagai sebutan semula kes.