KPKT harap dua projek PPR Larkin tersenarai dalam Bajet 2023

Akmal Nasrullah -Foto Bernama
Akmal Nasrullah -Foto Bernama
A
A
A

JOHOR BAHRU - Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) berharap agar cadangan pembinaan dua Projek Perumahan Rakyat (PPR), dapat dimasukkan dalam Bajet 2023 yang bakal dibentangkan pada penghujung bulan ini.

Menurut Timbalan Menterinya, Akmal Nasrullah Mohd Nasir, kedua-dua projek PPR berkenaan bakal dibina di Kawasan Perindustrian Dato Onn yang melibatkan kawasan seluas 3.64 hektar di Lot 6417 dan 2.71 hektar di Lot 6408 Kawasan Perindustrian Larkin.

"Kita akan kemukakan perkara (cadangan) ini kepada Menteri KPKT, Nga Kor Ming dan seterusnya ia akan dibincangkan di peringkat Unit Perancangan Ekonomi (EPU).

"Cuma pada, cabaran untuk pembangunan PPR ini mencecah kos yang tinggi dan isu penyelenggaraannya juga satu cabaran yang agak besar. Jadi memandangkan Bajet 2023 masih belum dibentangkan, saya kira ada ruang untuk KPKT mengangkat cadangan ini.

"Ini cabaran kepada saya untuk tunjukkan kesungguhan KPKT bagi merealisasikan hasrat ini. Walaupun agak tipis, tetapi kita perlu ambil kira semangat kerjasama KPKT dan kerajaan negeri ini," katanya pada Isnin.

Sebelum itu, Akmal Nasrullah mengadakan lawatan ke tapak cadangan PPR Larkin di Kawasan Perindustrian Larkin (Dato' Onn).

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor dan Ketua Eksekutif Perbadanan Kemajuan Perumahan Johor (PKPJ), Datin Paduka Dr Suhailizan Suliman.

Sementara itu, Mohd Jafni berkata, tapak pembinaan kedua-dua PPR berkenaan merupakan satu-satunya PPR yang dimohon oleh kerajaan negeri untuk dimasukkan dalam belanjawan kali ini.

"Oleh itu, kita sangat mengalu-alukan penglibatan Akmal Nasrullah selaku Timbalan Menteri dalam pembinaan kedua-dua PPR ini," katanya.