Menu Rahmah vs peniaga cekik darah

Tular di laman Facebook harga bagi sepinggan nasi bersama seekor sotong bersaiz kecil dicaj RM25 dan mendapat pelbagai reaksi warganet.
Tular di laman Facebook harga bagi sepinggan nasi bersama seekor sotong bersaiz kecil dicaj RM25 dan mendapat pelbagai reaksi warganet.
A
A
A

SETELAH banyak cakap-cakap mengenai formula yang ada kalanya ‘menyakitkan’ hati segelintir rakyat Malaysia, paling tidak langkah yang diumumkan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Seri Salahuddin Ayub baru-baru ini memberi kelegaan terutama buat golongan yang memerlukan.

Menu Rahmah, itu antara inisiatif segera Kerajaan Perpaduan khususnya bagi menangani peningkatan harga bahan mentah dan makanan bermasak ketika ini.

Menerusi Menu Rahmah, makanan ditetapkan pada harga RM5 dan ke bawah merangkumi nasi, seketul ayam atau seekor ikan dan sehidangan sayuran, sudah dianggap terbaik kerana lengkap nutrisi yang diperlukan bagi keperluan harian setiap orang.

Paling tidak, menu berkenaan mampu mengenyangkan perut yang lapar. Itu tujuan sebenar mengapa inisiatif berkenaan diperkenalkan, agar golongan miskin tegar dapat menikmati makanan siap dimasak pada harga mampu bayar.

Namun, cadangan itu tidak akan dapat dilaksanakan sekiranya tidak mendapat sokongan daripada pihak berkepentingan iaitu peniaga kedai makan dan pemilik restoran. Mereka merupakan nadi kepada keberkesanan langkah tersebut. Jika mereka enggan mengambil bahagian, sudah pasti amat sukar untuk direalisasikan.

Dalam hal ini, kerajaan perlu mengambil kira kekangan dihadapi oleh pemilik restoran dan peniaga kedai makan yang perlu menanggung kos lain, antaranya bahan mentah, sewa kedai, bil elektrik dan air serta kos pekerja.

Isu kos sara hidup dan peningkatan gaji minimum kepada RM1,500 turut memberi impak kepada pengusaha kedai makan. Sebab itu, ada segelintir daripada mereka mengambil kesempatan menaikkan harga makanan siap dimasak sehingga harganya tidak masuk akal.

Menjengah ke laman media sosial, setiap hari ada sahaja hantaran daripada segelintir masyarakat yang tidak berpuas hati dengan harga makanan yang dikenakan hingga tahap ‘cekik darah’. Tujuan hantaran pula tidak lain tidak bukan agar kedai berkenaan tular dan sebagai ‘amaran’ kepada orang ramai tentang harga yang tidak masuk akal.

Sebagai contoh, baru-baru ini tular di laman Facebook harga bagi sepinggan nasi bersama seekor sotong bersaiz kecil dicaj RM25 dan mendapat pelbagai reaksi warganet. Ada yang mendakwa harga dikenakan tidak munasabah, ada juga beranggapan ia caj standard bagi masakan sotong kerana harga mentah yang mahal.

Tetapi inilah realitinya, tidak ada satu golongan rakyat yang tidak terkecuali atau tidak terkesan apabila kos sara hidup dan kenaikan harga barangan mentah di pasaran semakin menekan.

Tetapi penulis mahu tabik kepada segelintir pihak yang melihat inisiatif Menu Rahmah dari sudut pandangan lebih luas, bukan hanya membilang berapa keuntungan yang boleh dihasilkan daripada jualan hidangan berkenaan.

Manakan tidak, secara logiknya tidak ada satu kedai makan atau restoran yang sanggup menyediakan menu lengkap itu dengan harga RM5 dan ke bawah. Alasan mereka, tidak balik modal kerana harga bahan mentah terutama ayam yang kebelakangan tidak menentu.

Berbeza dengan Presiden Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma), Datuk Jawahar Ali Taib Khan yang memberi jaminan bahawa restoran bernaung di bawah persatuan itu akan menyahut cadangan kerajaan untuk menyediakan Menu Rahmah. Malah beliau berjanji akan memastikan kualiti makanan dikekalkan meskipun kos ditanggung melebihi nilai harga pakej yang ditawarkan.

Menurutnya, langkah itu sebagai salah satu tanggungjawab sosial korporat (CSR) persatuan berkenaan terhadap golongan kurang berkemampuan di negara ini.

Selain itu, ada juga pihak yang menganggap pelaksanaan Menu Rahmah sebagai daya tarikan kepada pengunjung untuk datang ke gerai makanan dan restoran bagi mendapatkan juadah yang sesuai dengan kemampuan kewangan.

Mengambil contoh, strategi pasar raya yang menjual ayam proses pada harga murah namun masih memperoleh keuntungan dengan penjualan produk lain.

Inilah yang dikatakan perikemanusiaan, tidak hanya memikirkan keuntungan dan hasil semata-mata, tetapi sikap belas ihsan terhadap insan lain terutamanya kepada golongan yang amat memerlukan iaitu miskin tegar.

Melangkah bulan kedua tahun ini, diharap akan ada lagi inisiatif seperti ini bagi memastikan tiada golongan ‘terduduk’ ketika mendepani cabaran kemelesetan ekonomi sepanjang tahun 2023.

* Diana Azis ialah Wartawan Sinar Harian