Desaru Fruit Farm rugi RM600,000 akibat banjir

Alice (depan), meninjau sekitar kawasan tanaman yang didapati rosak kesan daripada banjir sedalam 2 meter, di Desaru Fruit Farm hari ini. - Foto Bernama
Alice (depan), meninjau sekitar kawasan tanaman yang didapati rosak kesan daripada banjir sedalam 2 meter, di Desaru Fruit Farm hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KOTA TINGGI - Destinasi agropelancongan terkenal Desaru Fruit Farm, di sini, mengalami kerugian kira-kira RM600,000 selepas 90 peratus daripada 35 hektar kebunnya ditenggelami air akibat banjir.

Pengarah Desaru Fruit Farm, Alice Tong Ah Chin berkata, jambu air, pisang, bidara dan limau bali adalah antara tanaman buah-buahan yang rosak teruk apabila kebunnya ditenggelami air lebih dua meter, Selasa lepas.

"Kerosakan bukan hanya kepada pokok dan buah-buahan, tetapi juga infrastruktur kita yang lain, termasuk galeri pertanian, yang turut dimasuki air.

"Kita mempunyai lebih 100 jenis tanaman dan pokok buah-buahan, walau kerap dilanda banjir, kali ini antara banjir yang paling teruk,” katanya ketika ditemui pemberita di Desaru Fruit Farm di sini hari ini.

Beliau berkata, jambatan di laluan masuk ke Desaru Fruit Farm juga ditenggelami air sehingga paras pinggang yang menyebabkan tebing runtuh.

Alice berkata, disebabkan banjir dan kerosakan yang dialami, pihaknya juga terpaksa membatalkan tempahan pelanggan-pelanggan yang ingin melakukan aktiviti di kebun itu.

Beliau berkata, pihaknya juga mengeluarkan modal sendiri dengan menyewa jentolak untuk membesarkan Sungai Cemaran berdekatan kebun Desaru Fruit Farm, bagi membolehkan air kembali surut.

Justeru, beliau juga berharap pihak berkaitan dapat membantu memandangkan Desaru Fruit Farm yang merupakan antara destinasi agropelancongan terkenal sejak 2003, menerima kira-kira 500,000 pengunjung setiap tahun.

"Pelancong kita bukan sahaja dari Singapura, tetapi juga China, Turkiye, Brunei, India dan Korea Selatan.

"Jadi saya harap ada mana-mana jabatan dapat membantu, antaranya untuk membesarkan Sungai Cemaran sebab kawasan ini ialah tarikan pelancongan,” katanya.

Setakat 2 petang tadi, jumlah mangsa banjir di tujuh daerah di negeri ini mulai menurun kepada 5,427 orang. - Bernama