Mangsa banjir di Johor terus meningkat, 55 PPS dibuka

Pasukan penyelamat membantu memindahkan mangsa banjir di Pontian. - Foto APM Pontian
Pasukan penyelamat membantu memindahkan mangsa banjir di Pontian. - Foto APM Pontian
A
A
A

JOHOR BAHRU - Jumlah mangsa banjir di Johor terus menunjukkan peningkatan apabila mencatatkan 5,455 mangsa dipindahkan setakat jam 8 pagi Khamis berbanding 5,427 pada jam 4 pagi.

Peningkatan berkenaan menyaksikan satu pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka menjadikan sebanyak 55 PPS dibuka berbanding 54 sebelum ini.

Menurut laporan daripada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), peningkatan itu melibatkan tujuh daerah di seluruh negeri iaitu Kota Tinggi, Kluang, Segamat, Mersing, Batu Pahat, Muar dan terbaru, Pontian.

Rumah penduduk yang dinaiki air banjir di Pontian. - Foto APM Pontian
Rumah penduduk yang dinaiki air banjir di Pontian. - Foto APM Pontian

“Mangsa banjir di negeri ini terus menunjukkan peningkatan apabila satu lagi PPS dibuka bagi menempatkan 5,455 mangsa daripada 1,508 keluarga di tujuh daerah terjejas.

“Untuk rekod, Pontian menjadi daerah terbaharu yang terjejas akibat banjir dan menyaksikan sebuah PPS dibuka di di SK Melayu Raya bagi menempatkan mangsa banjir dari Kampung Melayu Raya di daerah berkenaan,” menurut laporan berkenaan.

Sementara itu, tiada sebarang amaran ribut petir dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia namun menurut laporan daripada Jabatan Pengairan dan Saliran, tiga sungai melibatkan Sungai Gemas di Segamat, Sungai Kahang (Kluang) dan Sungai Endau (Mersing) menunjukkan aras bahaya.

“Bagi Sungai Gemas, aras air semasa barada pada paras 19.29 meter berbanding 18.60 meter, Sungai Kahang (15.99 meter berbanding 13.60 meter) dan 2.62 meter berbanding 2.20 meter bagi Sungai Endau.

“Selain itu tujuh sungai lain melibatkan Sungai Segamat, Sungai Segamat (Segamat Kecil), Sungai Muar (Kampung Awat), Sungai Sarang Buaya, Sungai Sembrong, Sungai Pontian Besar dan Sungai Johor berada pada paras amaran,” menurut laporan itu.