Pandang remeh isu keselamatan murid di luar sekolah undang bahaya

Pemandu MPV bertindak bahaya apabila bergerak dalam keadaan pintu terbuka ketika ambil murid di sebuah sekolah di Gombak pada Rabu.
Pemandu MPV bertindak bahaya apabila bergerak dalam keadaan pintu terbuka ketika ambil murid di sebuah sekolah di Gombak pada Rabu.
A
A
A

GOMBAK - Tindakan seorang pemandu sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) yang bergerak dengan pintu penumpang belakang dalam keadaan terbuka selepas mengambil murid di sebuah sekolah di sini boleh mengundang bahaya dan menyebabkan kemalangan.

Situasi tersebut sempat dirakam sewaktu tinjauan Sinar Harian berhubung isu keselamatan pelajar pada Rabu.

Sikap segelintir penunggang motosikal yang tidak memakaikan anak-anak topi keledar sewaktu mengambil atau menghantar anak dari sekolah.
Sikap segelintir penunggang motosikal yang tidak memakaikan anak-anak topi keledar sewaktu mengambil atau menghantar anak dari sekolah.

Dalam kejadian sekitar jam 1 tengah hari itu, pemandu kenderaan tersebut dengan tanpa rasa bersalah berhenti di tengah jalan bagi menurunkan murid sekolah.

Dia kemudian keluar dari kenderaan bagi membantu murid berkenaan melintas untuk masuk sekolah.

Selang beberapa minit, kelihatan murid lain menaiki kenderaan berkenaan yang kemudian terus bergerak tanpa menunggu pintu penumpang ditutup terlebih dahulu.

Menerusi tinjauan selama sejam itu, beberapa kesalahan lain turut dikesan antaranya tindakan pengusaha van sekolah yang mengambil dan menurunkan pelajar di tempat tidak dibenarkan.

Selain itu, kelihatan banyak van persendirian berwarna putih yang ada antaranya bercermin gelap dilihat aktif mengambil murid sekolah.

Turut dikesan tindakan murid yang mengejar dan berebut untuk menaiki van sekolah yang masih bergerak serta tindakan penunggang motosikal membiarkan anak mereka tidak memakai topi keledar.

Dalam pada itu, rata-rata ibu bapa yang ditemui mengakui kurang senang dan bimbang dengan sistem keselamatan di luar pagar sekolah khususnya pada waktu puncak.

Zuraina
Zuraina

Pekerja swasta, Zuraina Zulkifly, 42, berkata, kawasan itu agak sibuk pada waktu puncak susulan terdapat dua sekolah rendah beroperasi secara bersebelahan.

Ujarnya, pemandu van sekolah perlu beretika, lebih bertanggungjawab dan peka dengan keselamatan murid kerana ia melibatkan soal nyawa.

"Pemandu van tidak boleh ambil mudah menurunkan murid di tengah jalan, kemudian mengharapkan pengawal keselamatan kawal keselamatan murid tersebut.

"Mereka sepatutnya memastikan penumpang berada dalam keadaan selamat sebelum kenderaan bergerak, bukan penumpang naik terus gerak dalam keadaan pintu masih terbuka," katanya.

Zuraina berkata, dia bersama suami lebih selesa untuk mengambil sendiri anak dari sekolah berbanding menggunakan khidmat van sekolah.

"Aspek keselamatan salah satu faktor menyebabkan kami lebih selesa hantar dan ambil anak, memandangkan anak baharu darjah satu.

"Semasa di taska kami menggunakan van sekolah kerana ada dihadkan jumlah penumpang tetapi apabila masuk sekolah rendah, kami risau jika dia tidak biasa dengan situasi bersesak dan berebut ketika balik," katanya.

Pekerja sektor awam, Aniza Mokhtar, 44, meminta pihak sekolah agar menyediakan tempat khas mengambil dan menurunkan penumpang untuk keselamatan murid.

"Selain itu, sebagai ibu bapa kita perlu pastikan keselamatan anak diutamakan dengan menggunakan khidmat van sekolah yang berdaftar dan bukannya van persendirian yang apabila berlaku kemalangan, insurans tidak akan tanggung," katanya.

Mohammad Noor
Mohammad Noor

Seorang lagi orang awam yang ditemui, Mohammad Noor Dahaman, 49, mencadangkan supaya pengawal keselamatan yang bertugas ditambah ketika waktu puncak.

Selain itu katanya, pihak sekolah juga perlu pergiat kempen keselamatan dalam kalangan ibu bapa dari semasa ke semasa.

"Penguatkuasaan juga perlu berkala bagi mengekang kegiatan van persendirian. Mereka beroperasi kerana terdapat permintaan ramai susulan isu kenaikan tambang bas sekolah.

"Pemantauan juga perlu dilakukan apabila didapati ramai ibu bapa yang menghantar anak ke sekolah (naik motosikal) membiarkan anak mereka tidak memakai topi keledar," katanya.