OIC perlu beri amaran keras terhadap Sweden - ABIM

Faisal
Faisal
A
A
A

SHAH ALAM - Pertubuhan Negara-negara Islam (OIC) perlu mengeluarkan amaran keras terhadap Sweden bagi menunjukkan bahawa masyarakat Islam antarabangsa tidak berdiam diri berhubung isu penghinaan terhadap Islam.

Presidennya, Muhammad Faisal Abd Aziz berkata, ABIM mengecam sekeras-kerasnya tindakan provokasi dan biadap Rasmus Paludan, ahli politik perkauman sempit berhaluan kanan Denmark yang membakar kitab suci al-Quran di hadapan Kedutaan Turkiye di Stockholm, Sweden baru-baru ini.

"Kita mengecam sekeras-kerasnya tindakan provokasi tersebut yang jelas merupakan jenayah kebencian.

"Apa yang lebih mendukacitakan, ia dilakukan selepas mendapat kelulusan permit daripada kerajaan Sweden sendiri," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Jelasnya, ABIM juga mengutuk keras tindakan kerajaan negara itu yang mengizinkan pembakaran kitab suci tersebut secara sengaja atas nama kebebasan bersuara.

Tambah Muhammad Faisal lagi, pihaknya menekankan kepentingan dialog, kempen kesedaran dan pendidikan bagi menyuburkan budaya damai, sifat toleransi, saling menghormati dan persefahaman bersama.

"Sejak 2014, ABIM turut konsisten menggerakkan pelbagai penerbitan, forum, wacana serta program berkait dengan mencegah serta menangani keganasan melampau dengan kerjasama pelbagai pihak," katanya.