Bakar al-Quran: Negara Islam perlu bersatu kecam Sweden

Mohd Azmi
Mohd Azmi
A
A
A

ALOR SETAR - Semua negara Islam diminta bersatu dan bangkit mengecam tindakan ahli politik Sweden atas perbuatan membakar al-Quran di Stockholm pada Sabtu.

Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, perbuatan keji itu tidak boleh dibiarkan selain menyifatkan ia tindakan biadab dan tidak beradab terhadap negara Islam.

Menurutnya, pihaknya kesal dengan dasar kebebasan bersuara di Sweden yang bebas menghina agama lain, namun jelas ia bukannya kebebasan bersuara sebaliknya memupuk kebencian serta Islamofobia semata-mata.

“Mapim gesa agar kerajaan memanggil Duta Sweden berikutan kejadian membakar al-Quran tersebut.



"Ini kerana kerajaan Sweden gagal mengambil langkah sewajarnya terhadap perbuatan menjijikkan itu," katanya pada Isnin.

Beliau menegaskan, secara jelas perbuatan tersebut seolah menggalakkan jenayah kebencian.

"Ini adalah tindakan jenayah kebencian yang dilakukan pemimpin parti politik sayap kanan Denmark Hard Line, Rasmus Paludan yang secara terang-terangan membakar al-Quran semasa protes Islamofobia di hadapan kedutaan (Turkiye) di Stockholm,” katanya.

Mohd Azmi berkata, semua negara Islam seharusnya mengecam Sweden atas perbuatan keji tersebut.

“Kami menyeru semua negara Islam memanggil kedutaan Sweden dan membuat bantahan terhadap insiden itu.

"Sungguh membimbangkan apabila di Sweden sedang berlaku elemen kebencian dan ekstremisme terhadap Islam,” ujarnya.

Dalam pada itu, Mapim menyokong tindakan pantas Turkiye membatalkan lawatan Menteri Pertahanan Sweden yang bertujuan mengatasi bantahan Turkiye terhadap keahlian Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) negara berkenaan.

"Kami juga berharap Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) mengeluarkan kecaman keras dan memberi amaran kepada Sweden bahawa masyarakat antarabangsa Islam tidak akan berdiam diri," katanya lagi.

Pada Sabtu, Paludan menyertai bantahan di hadapan Kedutaan Turkiye di Stockholm, di bawah perlindungan ketat polis dengan kehadiran kira-kira 100 orang.

Selepas mengecam hampir sejam dengan menyerang Islam dan Imigresen di Sweden, Paludan kemudian bertindak membakar al-Quran dengan pemetik api.