Pengguna setuju kurang had laju jalan raya

Laporan Sinar Harian pada Selasa. Gambar kecil dari kiri: Nazirul, Atiqah, Syahida, Rizuan
Laporan Sinar Harian pada Selasa. Gambar kecil dari kiri: Nazirul, Atiqah, Syahida, Rizuan
A
A
A

SHAH ALAM - Rata-rata pengguna jalan raya berpandangan pengurangan had laju daripada 90 kilometer per jam (km/j) kepada 80km/j boleh mengurangkan risiko kemalangan.

Pengguna jalan raya, Nur Atiqah Baharudin, 35, berkata, ini disebabkan kenderaan yang laju sukar untuk dikawal apabila terjadinya apa-apa perkara.

“Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 2017 menyatakan memandu melebihi had laju menyumbang kepada 30 peratus kematian akibat nahas jalan raya di negara berpendapatan tinggi,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Kelmarin, kerajaan menetapkan had laju di Jalan Persekutuan seluruh negara akan dikurangkan sebanyak 10km/j berkuat kuasa mulai 18 hingga 27 Januari ini.

Seorang lagi pengguna, Mohamad Rizuan Kussarin, 34, turut bersetuju dengan pengumuman yang dibuat oleh kerajaan dan berpandangan ia merupakan salah satu langkah dalam mengurangkan kemalangan.

“Musim perayaan diketahui umum banyak berlaku kemalangan kerana pemandu terburu-buru untuk menuju ke destinasi masing-masing, maka langkah ini juga dapat membantu dalam mengurangkan kemalangan,” jelasnya.

Bagi Noor Syahida Md Sofian, 34, juga berpendapat kawalan had laju itu dapat membantu mengurangkan kadar kemalangan jalan raya.

“Kurang had laju dapat mengelakkan risiko pelanggaran ketika brek mengejut, haiwan liar melintas dan ketika jalan dalam keadaan tidak rata dan licin,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Mohd Nazirul Hisham, 34, pula berpandangan, pengurangan had laju satu langkah yang baik kerana kebanyakan rakyat di negara ini gemar memandu laju terutamanya ketika berada di lebuh raya.

“Mungkin berikutan ingin mengejar masa atau memang sudah menjadi kebiasaan mereka. Pengumuman kerajaan ini bagi saya perlu disambut baik tatkala begitu banyak kes-kes kemalangan jalan raya berikutan memandu laju dan tidak berhemah,” katanya.

Selain itu ujarnya, kerajaan juga perlu melihat faktor-faktor lain mendorong kepada kes kemalangan yang boleh meragut nyawa orang lain.

“Lori yang bermaharajalela di jalan raya bukan setakat memandu laju, namun langsung tidak mengikut piawaian JPJ (Jabatan Pengangkutan Jalan) dan Puspakom (Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer) sendiri.

“Terdapat lori yang membawa muatan lebih dan tidak menutup secara baik menggunakan kanvas khas, sehingga ada barang yang melayang, jatuh menimpa sekali gus beri risiko bahaya kepada pengguna jalan raya yang lain,” katanya.