Mansuh had harga ayam, telur: MIDF positif terhadap sektor pengguna

MIDF mengekalkan pandangan positif terhadap sektor pengguna susulan pemansuhan had harga ayam dan telur mulai 1 Julai ini.
MIDF mengekalkan pandangan positif terhadap sektor pengguna susulan pemansuhan had harga ayam dan telur mulai 1 Julai ini.
A
A
A

PENYELIDIKAN MIDF Amanah Investment Bank Bhd mengekalkan pandangan positif terhadap sektor pengguna susulan pemansuhan had harga ayam dan telur mulai 1 Julai, 2023.

Ini memandangkan peserta industri ternakan ayam akan mempunyai fleksibiliti harga yang lebih luas untuk tindak balas kepada perubahan kos input, jelasnya.

Menerusi nota penyelidikan pada Jumaat, penyelidikan MIDF berpandangan pemansuhan itu akan membolehkan kuasa pasaran menentukan harga berdasarkan situasi bekalan dan permintaan.

Pandangan positif itu disokong oleh langkah defensif susulan permintaan yang berdaya tahan terhadap produk berkaitan makanan asas dan penggunaan domestik yang kukuh, dipacu oleh pasaran buruh yang stabil, perdagangan runcit yang teguh dan peningkatan kegiatan pelancongan, jelasnya.

"Selain itu, margin keuntungan lebih besar untuk pengeluar makanan dan minuman -- didorong oleh penurunan harga bahan mentah dan kenaikan harga sebelum ini, mengimbangi tekanan kos lain -- dan harga komoditi normal bagi makanan ternakan kemungkinan mengurangkan kos input yang tinggi untuk peserta industri ternakan ayam,” tambahnya.

Menurut penyelidikan MIDF, penurunan harga kontrak niaga hadapan untuk mil kacang soya global (-1.8 peratus tahun ke tahun) dan jagung (-29.4 peratus tahun ke tahun) pada Mei 2023 boleh mengurangkan tekanan kos industri ayam dan mungkin membantu mengimbangi peningkatan kos buruh dan elektrik.

"Oleh itu, kami percaya pemansuhan kawalan harga (siling) selepas Julai 2023 akan membolehkan penternak ayam mempunyai lebih fleksibiliti harga untuk melepaskan kos input yang lebih tinggi kepada pengguna dan meningkatkan margin keuntungan,” katanya.

Penyelidikan MIDF juga menjelaskan selain itu, penarikan balik sekatan eksport ke atas ayam hidup, ayam siang dan bahagian ayam mungkin menggalakkan peserta ternakan ayam meningkatkan pengeluaran di Malaysia dan meneroka peluang eksport untuk mempelbagaikan aliran perolehannya.

"Walau bagaimanapun, memandangkan bekalan telur yang terhad di Malaysia, kami menjangkakan harga telur berpotensi naik dalam tempoh terdekat.

"Selain itu, wabak selesema burung global telah menyebabkan pengurangan bekalan telur di negara lain, berpotensi menjadikan telur import lebih mahal di Malaysia,” menurut cabang penyelidikan MIDF itu.

Pada April 2023, harga purata bagi sekilogram ayam adalah RM10.45; 47 sen bagi sebiji telur gred A, 45 sen bagi setiap telur gred B dan 44 sen bagi sebiji telur gred C.

"Oleh itu, kami percaya harga terapung bagi ayam tidak akan mengalami kenaikan ketara selepas pemansuhan kawalan harga (siling) namun, harga telur mungkin meningkat disebabkan bekalan terhad di dalam dan di luar negara,” jelasnya. - Bernama