Had laju di Jalan Persekutuan diturunkan kepada 80 km/j

Had laju di Jalan Persekutuan dikurangkan sebanyak 10 km/j berkuat kuasa mulai 18 hingga 27 Januari 2023. - Foto Bernama
Had laju di Jalan Persekutuan dikurangkan sebanyak 10 km/j berkuat kuasa mulai 18 hingga 27 Januari 2023. - Foto Bernama
A
A
A

SEPANG – Had laju Jalan Persekutuan di seluruh negara akan dikurangkan daripada 90 kilometer perjam (km/j) kepada 80 km/j berkuat kuasa mulai 18 hingga 27 Januari 2023.

Menteri Kanan Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Alexender Nanta Linggi berkata, pewartaan pengurangan had laju sementara ini merupakan antara langkah-langkah keselamatan dan pemantauan yang diambil kerajaan bagi meningkatkan keselamatan serta mengurangkan risiko kemalangan jalan raya yang kerap kali berlaku pada musim perayaan.

“Justeru, Kementerian Kerja Raya turut bekerjasama dengan Kementerian Pengangkutan serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengambil langkah-langkah awal mengadakan program pemantauan jalan raya secara berterusan termasuk proses memasang papan tanda di jalan berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar bersama Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook sempena Ops Bersepadu dan Kempen Keselamatan Jalan Raya sempena Tahun Baharu Cina peringkat kebangsaan tahun 2023 di Hentian Rehat dan Rawat Dengkil arah utara pada Selasa.

Sementara itu, berkenaan program menaik taraf infrastruktur keselamatan jalan raya di bawah kementeriannya, Nanta berkata, pelbagai usaha dilaksanakan seperti kerja merawat dan memperbaiki lokasi kerap berlaku kemalangan di jalan raya Persekutuan yang dikenali sebagai kawasan 'blackspots'.

“Bagi rekod pembaikan 'blackspots' yang telah dilaksanakan di jalan-jalan Persekutuan seluruh negara pada tahun 2022, sebanyak 53 lokasi telah dilaksanakan pembaikan dengan kos berjumlah RM17.2 juta.

“Pembaikan yang dilaksanakan ini adalah bersifat penyelesaian kos rendah dan berimpak tinggi,” katanya.

Tambahnya, bagi rekod pemasangan lampu jalan di kawasan berlaku kemalangan atau berisiko kemalangan akibat jalan gelap yang telah dilaksanakan di jalan-jalan Persekutuan seluruh negara pada tahun 2022, sebanyak 40 lokasi telah dilaksanakan pemasangan lampu jalan dengan kos berjumlah RM4.7 juta.

Artikel Berkaitan:

“Kita juga telah mengenal pasti sebanyak 76 lokasi kerap berlaku kemalangan (blackspots) bagi tahun 2023.

“Kementerian Kerja Raya melalui Jabatan Kerja Raya akan sentiasa memantau lokasi-lokasi 'blackspots' yang telah dikenal pasti bagi memastikan keselesaan dan keselamatan pengguna jalan raya,” ujarnya.