Selangor buka peluang anak yatim ikuti kursus kemahiran

Mohd Khairuddin (tiga dari kanan) memotong riben sebagai simbolik penyerahan geran tanah kepada salah seorang penerima semasa Program Ceria Atlet Selangor di Kampung Bahagia, Bukit Lagong pada Khamis.
Mohd Khairuddin (tiga dari kanan) memotong riben sebagai simbolik penyerahan geran tanah kepada salah seorang penerima semasa Program Ceria Atlet Selangor di Kampung Bahagia, Bukit Lagong pada Khamis.
A
A
A

SUNGAI BULOH - Kerajaan Selangor akan mengadakan memorandum persefahaman (MoU) dengan Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Negeri Selangor (STDC) untuk memberi peluang kepada anak yatim seluruh Selangor mengikuti kursus kemahiran.

Exco Generasi Muda, Sukan dan Modal Insan Negeri Selangor, Mohd Khairuddin Othman berkata, MoU itu jangka dimaterai selepas Tahun Baharu Cina ini.

Menurut beliau, inisiatif kerajaan negeri itu diambil bagi memastikan tiada anak yatim yang berdaftar di rumah anak yatim terbiar dan keciciran.

"Ini satu program baharu diperkenalkan kerajaan Selangor kepada anak yatim supaya mereka dapat kembangkan karier mereka selepas tamat SPM (Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar selepas Program Ceria Atlet Selangor di Kampung Bahagia, Bukit Lagong di sini pada Khamis.

Mohd Khairuddin berkata, kebanyakan anak yatim di negeri ini akan mencari haluan hidup masing-masing selepas berusia 18 tahun.

Malah katanya, kerajaan negeri pada masa ini sukar untuk mengenal pasti golongan tersebut yang telah meninggalkan rumah anak yatim.

Sehubungan itu, katanya, melalui kerjasama antara kerajaan Selangor dan STDC semua rekod berkaitan anak yatim dapat disimpan dan mereka secara 'automatik' dapat meneruskan bidang kemahiran.

Artikel Berkaitan:

"Saya menjangkakan seramai 2,000 anak yatim berada di seluruh Selangor pada masa ini dan terdapat ratusan rumah anak yatim di negeri ini.

"Kita mahu selepas ini semua anak yatim yang berdaftar di rumah anak yatim didaftarkan melalui STDC untuk memastikan mereka ini mempunyai peluang masa depan sekiranya tidak lagi berada di rumah anak yatim," kata beliau.