Karnival Kerjaya Selangor buka lebih 7,000 peluang pekerjaan

Karnival Kerjaya Selangor 2023 akan diadakan selama dua hari bermula esok dan Ahad di Klang, Selangor.
Karnival Kerjaya Selangor 2023 akan diadakan selama dua hari bermula esok dan Ahad di Klang, Selangor.
A
A
A

SHAH ALAM - Bukan sahaja majikan daripada pelbagai sektor pekerjaan tampil malah lebih 7,000 peluang pekerjaan turut ditawarkan kepada orang ramai sempena Karnival Kerjaya Selangor 2023 yang akan berlangsung di Dewan Hamzah, Klang, Selangor bermula esok dan Ahad ini.

EXCO Pembangunan Sosio Ekonomi, Kebajikan Masyarakat dan Pemberdayaan Pekerja Selangor, V Ganabatirau berkata, karnival anjuran bersama Kementerian Sumber Manusia dan Unit Pemberdayaan Pekerja Selangor (UPPS) itu akan diadakan bermula jam 9 pagi hingga 5 petang dengan menampilkan lebih 30 majikan termasuk Astro, Westport dan Maybank yang akan menyertai karnival tersebut.

Menurutnya, orang ramai boleh merebut peluang pekerjaan dalam pelbagai bidang yang ditawarkan termasuk di dalam sektor pembuatan, perkhidmatan, perbankan, pengendalian makanan dan hospitaliti.

Katanya, bagi memudahkan urusan semakan dan khidmat nasihat, Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan turut membuka booth di karvinal tersebut.

"Orang ramai boleh mengunjungi karnival kerjaya dua hari ini bermula esok dan mendaftar melalui pautan https://myfuturejobs.gov.my/careerfair/.

"Mereka yang hadir disaran untuk membawa resume masing-masing sebagai persediaan sekiranya syarikat pekerjaan berminat mendapatkan khidmat dengan segera,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Dalam pada itu, Ganabatirau berkata, UPPS yang baharu dua tahun ditubuhkan di bawah Jawatankuasa Tetap Pemberdayaan Pekerja adalah bertujuan membantu individu yang kehilangan pekerjaan dan sumber pendapatan akibat Covid-19.

Karnival Kerjaya Selangor 2023 akan diadakan selama dua hari bermula esok dan Ahad di Klang, Selangor.
Karnival Kerjaya Selangor 2023 akan diadakan selama dua hari bermula esok dan Ahad di Klang, Selangor.

Beliau berkata, unit tersebut sehingga ini telah berjaya menempatkan 2,500 pekerja di syarikat elektronik seperti Sony dan Panasonic.

Tambahnya, fokus utama UPPS adalah tertumpu kepada golongan B40 yang kehilangan pekerjaan dan sumber pendapatan.

"Meskipun misi utama UPPS adalah membantu pekerja-pekerja di Selangor yang telah kehilangan pekerjaan semasa pandemik Covid-19, namun ia terbuka kepada semua yang sedang mencari pekerjaan.

"Kita mahu semua sama-sama kembali mendapatkan pekerjaan yang sesuai bagi menempuh kehidupan mendatang," ujarnya.

Pada tahun lalu kata beliau, Jawatankuasa Tetap Pemberdayaan Pekerja berjaya melaksanakan pemberian caruman Perkeso kepada pekerja penghantar makanan seperti Grab dan Food Panda selama setahun.

Tambahnya, menyedari kepentingan dan manfaat besar itu, pihaknya bersetuju membantu 500 pekerja penghantar makanan untuk membuat pencaruman bagi fasa pertama.

Pada masa yang sama, katanya, kerajaan Selangor menerusi UPPS akan turut memberi bantuan bayaran pendahuluan pembelian motosikal kepada 100 pekerja P-hailing dalam program Bikecare-1000.

"Program ini khas untuk mereka yang menganggur dan ingin menceburkan diri dalam sektor P-hailing.

"Kerajaan negeri akan membantu mereka dengan subsidi bayaran pendahuluan, insurans dan pemprosesan pinjaman dengan jumlah bantuan sebanyak RM1,000 untuk setiap pembelian motosikal dan memulakan kerjaya dalam sektor p-hailing," jelasnya.

Sementara itu, katanya, bagi membimbing penganggur di luar bandar memohon pekerjaan, UPPS turut menjelajah ke pusat komuniti desa (PKD) seluruh negeri.