Langkah berterusan kawal pencemaran di Sungai Buloh

Pencemaran sungai di Sungai Buloh berpunca daripada hasil pembangunan pesat di lembangan sungai membabitkan pelbagai sektor ekonomi.
Pencemaran sungai di Sungai Buloh berpunca daripada hasil pembangunan pesat di lembangan sungai membabitkan pelbagai sektor ekonomi.
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan Selangor melalui Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) telah, sedang dan akan terus melaksanakan beberapa langkah kawalan pencemaran sungai di Sungai Buloh yang berpunca daripada hasil pembangunan pesat di lembangan sungai membabitkan pelbagai sektor ekonomi.

Exco Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Orang Asli negeri, Hee Loy Sian berkata, aktiviti industri, komersial, perumahan, penternakan dan akuakultur di kawasan berkenaan telah menyumbang kepada peningkatan efluen ke dalam sungai dan menurunkan kualiti air.

Mengulas isu dibangkitkan media berhubung pencemaran sungai di Sungai Buloh yang didakwa mengakibatkan tumbesaran kerang terganggu dan mati, beliau berkata, kerajaan negeri tidak menafikan ia antara lain dipengaruhi oleh kualiti dan keadaan lembangan sungai berkenaan.

Menurut Loy Sian, antara langkah diambil kerajaan negeri adalah menjalankan kajian kebersihan Sungai Buloh secara berkala, membangunkan Pelan Tindakan Sungai Buloh (PTSB) serta pelaksanaan kawalan bagi lesen kemasukan atau pelepasan bahan pencemar dengan penetapan had parameter.

Beliau menjelaskan, bagi penyelesaian jangka panjang pula, kerajaan negeri melalui LUAS telah merancang dan akan melaksanakan Polisi Pelepasan Sifar iaitu premis akan mengitar semula pelepasan efluen mereka berbanding melepaskan kepada alam sekitar dan sumber air.

Selain itu, beliau berkata, pihaknya turut merancang untuk melaksanakan dasar prinsip pencemar membayar (PPP) yang membolehkan mana-mana premis dikenakan caj terhadap jumlah beban pencemaran yang dilepaskan ke dalam sungai jika melebihi had piawai ditetapkan.

“Kedua-dua dasar ini sedang dikaji akan kebolehlaksanaannya secara menyeluruh dari segi impak keseimbangan dan kemampanan sumber air serta ekonomi,“ katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Kerajaan Selangor melalui LUAS telah, sedang dan akan terus melaksanakan beberapa langkah kawalan pencemaran sungai di Sungai Buloh
Kerajaan Selangor melalui LUAS telah, sedang dan akan terus melaksanakan beberapa langkah kawalan pencemaran sungai di Sungai Buloh

Dalam pada itu, Loy Sian berkata, pelaksanaan Jumlah Beban Harian Maksimum (TMDL) adalah langkah yang sedang diambil bagi menilai kemampuan sesuatu sumber air sungai untuk menerima beban bahan pencemar tanpa menjejaskan kualiti airnya.

“LUAS telah melaksanakan dua kajian TMDL iaitu di lembangan Sungai Langat dan Sungai Sembah dan akan dilaksanakan di lebih banyak sungai di Selangor termasuk di lembangan Sungai Buloh pada masa depan,“ katanya.

Beliau menambah, selain itu, pihak LUAS akan terus memperkasakan program kesedaran bersama komuniti di kawasan persekitaran dengan mewujudkan ‘Friends of River’ Negeri Selangor di lembangan Sungai Buloh bagi memupuk kesedaran dalam kalangan penduduk setempat berhubung pentingnya penjagaan kualiti sumber air.