Air surut Pulau Giam: Bomba minta pengunjung berjaga-jaga

Fenomena air pasang surut membolehkan orang ramai menyeberang ke Pulau Giam dari Pantai Teluk Nipah dengan hanya berjalan. - Foto media sosial (Gambar kecil: Azmi Osman)
Fenomena air pasang surut membolehkan orang ramai menyeberang ke Pulau Giam dari Pantai Teluk Nipah dengan hanya berjalan. - Foto media sosial (Gambar kecil: Azmi Osman)
A
A
A

IPOH - Orang ramai diminta mendapatkan pandangan agensi berkaitan terutama Jabatan Laut sebelum berkunjung ke Pulau Giam di Pulau Pangkor yang berdepan fenomena air pasang surut bermula 21 Januari ini.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Azmi Osman berkata, maklumat waktu pasang surut air yang tepat serta perubahan cuaca perlu diperoleh sebelum mendedahkan diri kepada risiko dan bahaya.

"Kita sedia maklum, fenomena yang berlaku di pulau itu nanti akan menarik perhatian pengunjung untuk berjalan hingga ke tengah lautan.

"Jadi kita beri peringatan awal agar sentiasa peka dengan keadaan semasa paras air, paling penting dapatkan maklumat yang tepat daripada jabatan dan agensi berkaitan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika Kempen Pemeriksaan Menghapus Bahaya Kebakaran sempena musim perayaan Tahun Baharu Cina di Tokong Kwan Yin Tong dekat sini pada Khamis.

Fenomena yang berlaku setiap tahun itu menyebabkan keadaan laut seakan terbelah membolehkan orang ramai menyeberang ke Pulau Giam dari Pantai Teluk Nipah dengan hanya berjalan.

Dijadualkan fenomena berkenaan berlaku sebanyak dua kali tahun ini iaitu pada 21 hingga 25 Januari dan pada 19 hingga 22 Februari.

Azmi berkata, JBPM Perak telah melaksanakan pelan kontingensi dan tahap keselamatan di kawasan itu melalui Balai Bomba dan Penyelamat Pangkor.

Artikel Berkaitan:

Katanya, langkah itu diambil memandangkan berlaku kes korban nyawa sebelum ini melibatkan pengunjung yang terperangkap ketika fenomena berkenaan berlaku.

"Kemungkinan kita akan meletakkan pasukan kita bersama peralatan menyelamat yang asas untuk 'stand by' kerana sekiranya berlaku insiden tidak diingini, kita dapat tanganinya dengan lebih cepat," katanya.