Van rendah karbon ganti van merah jambu di Pulau Pangkor

Perancangan penggunaan van berkuasa elektrik yang dirancang sebelum ini bagi menggantikan van merah jambu di Pulau Pangkor ditukar kepada van rendah karbon dan ia masih lagi dalam proses pelaksanaan. - Foto fail Bernama
Perancangan penggunaan van berkuasa elektrik yang dirancang sebelum ini bagi menggantikan van merah jambu di Pulau Pangkor ditukar kepada van rendah karbon dan ia masih lagi dalam proses pelaksanaan. - Foto fail Bernama
A
A
A

IPOH - Perancangan penggunaan van berkuasa elektrik yang dirancang sebelum ini bagi menggantikan van merah jambu di Pulau Pangkor ditukar kepada van rendah karbon dan ia masih lagi dalam proses pelaksanaan, Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak diberitahu pada Khamis.

Pengerusi Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam negeri, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk) melalui anak syarikatnya Majuperak Holdings Berhad (Majuperak) telah melaksanakan kajian kebolehlaksanaan dan mendapati sokongan terhadap van rendah karbon adalah jauh lebih tinggi berbanding van elektrik.

"Projek ini dalam peringkat akhir untuk dibawa ke Mesyuarat Majlis Kerajaan (MMK) untuk mendapatkan keputusan dan kelulusan dasar bagi perubahan dan pelaksanaan projek,” katanya semasa sesi soal jawab pada persidangan DUN Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini pada Khamis.

Mohammad Nizar menjawab soalan Norhaslinda Zakaria (PN-Pangkor) tentang status inisiatif menggantikan teksi di Pulau Pangkor kepada kenderaan elektrik yang telah diumumkan pada Jun 2020 dengan peruntukan RM10 juta.

Mohammad Nizar berkata pada Julai 2020, kerajaan Persekutuan telah memperuntukkan RM12 juta bagi projek Membekalkan Skuter dan Van Elektrik bagi Tujuan Mempromosikan Pulau Pangkor sebagai "Pulau Pelancongan Hijau dan Lestari”.

Daripada peruntukan itu katanya, RM2 juta untuk pembekalan skuter elektrik dan RM10 juta untuk van elektrik, namun pengubahsuaian telah dibuat oleh pihak Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) untuk menggunakan keseluruhan dana bagi pembekalan van elektrik.

"Justeru, YB Datuk Seri Diraja Dr Zambry Abd Kadir selaku ADUN Pangkor pada masa itu telah mencadangkan penukaran van elektrik kepada van rendah karbon semasa berlangsungnya sidang Dewan pada Mesyuarat Pertama, Tahun Kelima Dewan Negeri ke-14 Perak Darul Ridzuan,” katanya. - Bernama