Isu Pulau Pinang, Anthony minta Sanusi baca balik perlembagaan

Anthony Loke
Anthony Loke
A
A
A

SUNGAI PETANI - Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor disaran membeli buku Perlembagaan Persekutuan dan membacanya untuk memahami dengan jelas berhubung perkara yang termaktub dalam perlembagaan tersebut.

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, sebagai warganegara Malaysia tidak kira orang biasa, pemimpin politik mahupun menteri besar sekalipun, perlulah mematuhi dan memahami Perlembagaan Persekutuan.

"Dalam Perlembagaan Persekutuan kita ada 13 buah negeri (termasuk Pulau Pinang) kalau menteri besar kita tak faham, I suggest him to buy a copy of the Federal Constitution and read out (saya cadangkan dia beli dan baca balik Perlembagaan Persekutuan)," jelasnya.

Anthony yang juga Menteri Pengangkutan berkata demikian ketika melancarkan Program MyLesen B2 Peringkat Kebangsaan di sini pada Selasa.

Hadir sama, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Tambah Anthony, Perlembagaan Persekutuan perlu diketahui dan dipelajari rakyat termasuk pelajar yang menduduki Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).

"Bab ini kalau pernah belajar Pengajian Am, orang Tingkatan Eam mesti dia reti, kalau tak, dia tak lepaslah STPM.

"Dalam segala apa perjalanan negara kita dari segi pentadbiran, dari segi politik, dari segi struktur kerajaan mesti berpandukan kepada Perlembagaan Persekutuan," katanya.

Anthony (tengah) ketika melancarkan Program MyLesen B2 Peringkat Kebangsaan di Sungai Petani, Kedah pada Selasa.
Anthony (tengah) ketika melancarkan Program MyLesen B2 Peringkat Kebangsaan di Sungai Petani, Kedah pada Selasa.

Sementara itu, Saifuddin yang juga Setiausaha Agung PKR berkata, isu antara Kedah dan Pulau Pinang sudah pun selesai di peringkat kerajaan Persekutuan.

"Menteri besar silih berganti. Saya jarang sangat dengar menteri besar ulas benda-benda begini daripada bangkit soal Pulau Pinang hak Kedah, isu pampasan nak sekat air.

"Saya fikir sampai masa rakyat Kedah celik bahawa kita perlu kepada pemimpin yang mengambil berat soal kebajikan rakyat daripada nak mencetuskan kontroversi dan perkara yang tak perlu," katanya.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan kenyataan Muhammad Sanusi yang menegaskan bahawa Pulau Pinang adalah milik negeri Kedah.

Jelas beliau, Kedah hanya mempunyai sempadan negeri dengan Perak dan Perlis sahaja.

Dalam perkembangan berbeza, seramai 306 penerima MyLesen B2 terdiri daripada penerima bantuan B40, e-Kasih, zakat, Jabatan Kebajikan Masyarakat di Kedah.

Program MyLesen B2 merupakan inisiatif Kerajaan Perpaduan untuk memberi manfaat kepada 9,000 orang calon daripada golongan terpilih di seluruh negara menerusi peruntukan sebanyak RM2.7 juta di bawah Belanjawan Madani 2023.