Kerajaan Pahang bercadang wujudkan hub mengkuang di Cherating

Sabriah (duduk, tengah) melakukan kunjung di rumah keluarga Ramli di Jalan Bukit Palas, Cherating pada Khamis.
Sabriah (duduk, tengah) melakukan kunjung di rumah keluarga Ramli di Jalan Bukit Palas, Cherating pada Khamis.
A
A
A

KUANTAN - Kerajaan Pahang bercadang untuk mewujudkan hub mengkuang di salah sebuah premis di Cherating bagi meningkatkan ekonomi wanita di kawasan itu.

Exco Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Pahang, Datuk Sabariah Saidan berkata, cadangan itu bagi membantu golongan wanita termasuk bekas pekerja Kebajikan Kemajuan Masyarakat (KEMAS), Murni Md Daud, 58, yang menghidap penyakit radang sendi untuk memasarkan produk mengkuang yang dihasilkan.

"Pada pembentangan Belanjawan Pahang Tahun 2023 pada Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang pada Oktober tahun lalu telah memperuntukkan RM1 juta bagi mewujudkan Pusat Pengembangan Keusahawanan Wanita Pahang.

"Pusat pembangunan itu akan dibuka di empat daerah terpilih iaitu Kuantan, Maran, Temerloh dan Lipis. Jadi untuk di Kuantan, kita memilih Cherating untuk dijadikan hub mengkuang sekali gus membantu wanita di kawasan ini termasuk Murni menjana pendapatan mereka," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melakukan kunjungan keluarga Ramli Mamat, 59, di Jalan Bukit Palas, Cherating pada Khamis.

Kunjung ziarah itu dilakukan bersama-sama Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Majlis Kebajikan Masyarakat Pahang (MAKPEN) telah menyampaikan sumbangan berbentuk wang tunai dan barangan keperluan harian.

Pada 12 Januari lalu, Sinar Harian melaporkan kisah ketua keluarga yang terpaksa berhenti kerja sebagai tukang cuci di sebuah resort di Cherating bagi menguruskan isteri dan anaknya yang menderita sakit.

Ramli, menganggap soal kesihatan ahli keluarganya lebih utama apabila isterinya, Murni, menghidap radang sendi di kedua belah kakinya sehingga tidak mampu berjalan sejak tiga tahun lalu, manakala Mohammad Arif Hakimi, 21, pula disyaki menghidap penyakit ‘kaki gajah’ selepas kaki kirinya semakin membesar ketika berusia 12 tahun.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut kunjungan itu, Sabariah berkata, Kerajaan Pahang sentiasa prihatin terhadap rakyat yang memerlukan di negeri terutama membabitkan aspek kesihatan.

"Kita (Kerajaan Pahang) tidak pernah putus membantu rakyat sebab setiap kali laporan daripada pemimpin setempat (diterima) memang kerajaan negeri akan segera sampailah (bantuan)," ujar beliau.

Sementara itu, Ramli mengucapkan terima kasih di atas keprihatinan Kerajaan Pahang yang sudi menyalurkan bantuan dan membuat kunjungan ke rumahnya.