Sikap sambil lewa guru bawa padah

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

RAMAI pelajar dan ibu bapa teruja untuk menerima wang bantuan awal persekolahan sebanyak RM150 seorang yang diagihkan bermula Isnin lalu.

Namun lain pula jadinya buat murid-murid di sebuah sekolah kebangsaan di Beranang, Selangor apabila wang bantuan sebanyak RM109,000 yang cukup untuk 726 murid telah disamun pada Isnin.

Wang dikeluarkan dari sebuah bank oleh guru besar sekolah berkenaan di Pekan Semenyih itu sepatutnya diagihkan pada Selasa.

Menurut polis, guru besar berkenaan meletakkan wang itu di bawah kerusi penumpang hadapan sebelum dilarikan individu yang memecah tingkap kenderaannya ketika beliau singgah membeli minuman di sebuah restoran berdekatan.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, pihaknya akan melakukan siasatan secara menyeluruh dari pelbagai sudut termasuk mengenal pasti jika wujud unsur-unsur kecuaian atau penglibatan orang dalam.

Secara logiknya, dengan pengeluaran wang sebanyak itu pastinya memerlukan pengiring sama ada daripada kalangan guru mahupun pihak polis bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.

Bagaimanapun, tiada sebarang permohonan diterima untuk penyediaan polis pengiring pada hari kejadian. Malah, guru besar berusia 50 tahun itu mengakui sudah 10 tahun mengendalikan transaksi pengeluaran wang tunai tanpa polis pengiring.

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) kemudian mengesahkan berlaku pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) berhubung insiden tersebut.

Artikel Berkaitan:

Berdasarkan Arahan Perbendaharaan (AP) 137 – Tanggungjawab Bagi Wang Tunai Dalam Perjalanan, pengeluaran wang tunai hingga RM10,000 oleh pengetua atau guru besar hendaklah diiringi dua guru, manakala perkhidmatan pengiring daripada polis diperlukan jika mengeluarkan wang tunai melebihi RM10,000.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, pihaknya mengambil serius kejadian itu dan sedang menunggu laporan siasatan daripada pihak polis. Tindakan lanjut pula akan dibuat oleh Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor.

KPM mengambil langkah tepat apabila tidak berkompromi dalam isu kehilangan wang tersebut.

Seorang pendidik seharusnya menunjukkan teladan kepada anak murid. Namun apalah maknanya teladan jika mereka sendiri melanggar peraturan sehingga mendatangkan kemudaratan kepada orang lain.

Dalam kes ini, tindakan guru besar itu menyebabkan anak muridnya lambat menerima bantuan berbanding pelajar di sekolah lain.

Tindakan disiplin perlu dikenakan terhadap guru yang gagal mematuhi arahan perkhidmatan penjawat awam untuk memberi pengajaran kepada semua pentadbir sekolah.

Kejadian ini juga menimbulkan persoalan mengenai cara lama mengagihkan bantuan ketika perbankan internet telah digunakan secara meluas untuk transaksi yang lebih selamat.

Cadangan bekas Menteri Pendidikan, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin agar pembayaran terus ke akaun bank murid atau ibu bapa ada betulnya.

Ini kerana apabila bayaran dibuat secara manual di sekolah, ibu bapa perlu menandatangani beberapa helaian kertas, manakala guru terpaksa memastikan proses itu dilaksanakan satu per satu. Wang tunai juga berisiko untuk dilarikan di tengah jalan.

Justeru kerajaan harus mengkaji semula mekanisme pemberian bantuan kepada pelajar bagi mengelakkan kejadian sama berulang.

Apa pun, sikap sambil lewa dalam menjalankan amanah harus disingkirkan daripada diri semua pentadbir sekolah.

Pendidik bangsa seharusnya meletakkan integriti sebagai penanda aras dalam setiap tindakan, perbuatan dan percakapan yang menjadi contoh kepada jutaan murid.

Murid-murid pula melihat guru sebagai contoh dan idola untuk membina nilai-nilai kehidupan, selain peranan ibu bapa.

Sewajarnya guru-guru menilai semula adakah tindakan dan perbuatan mereka membawa kesan baik ataupun buruk dalam memberikan teladan kepada murid.

Hanya disebabkan tindakan cuai seorang guru berjawatan tinggi, institusi perguruan turut terpalit nama buruk. Alasan yang diberi oleh guru besar itu pun sudah mencerminkan perihal individu yang tidak memikirkan kesan di sebalik sikap ambil lewa.

Insiden seperti ini tidak mungkin berlaku jika guru mempunyai nilai integriti, jujur dan amanah dalam menunaikan tanggungjawab.

* Nur Iftitah Rozlan ialah wartawan Sinar Harian