Gesa kaji semula kadar tambang e-hailing

Sebahagian pemandu e-hailing Johor Bahru pada sidang akhbar berkenaan pada Rabu.
Sebahagian pemandu e-hailing Johor Bahru pada sidang akhbar berkenaan pada Rabu.
A
A
A

JOHOR BAHRU – Golongan pemandu e-hailing di sini, memohon agar pihak atasan mengkaji semula berhubung kadar tambang berpatutan dalam usaha menjaga kebajikan mereka.

Mereka berpendapat kadar yang dikenakan ketika ini tidak bersesuaian dan menyuarakan cadangan supaya harga dikenakan adalah RM1 bagi setiap kilometer dan RM1.30 ketika waktu puncak.

Menurut seorang pemandu e-hailing, Siti Aida Salikin, 51, kadar tambang yang diturunkan ketika ini bakal menimbulkan masalah kepada pemandu sepertinya, terutamanya bagi urusan penyelenggaraan kenderaan.

“Saya dan suami berkhidmat dalam e-hailing ini secara sepenuh masa.

Siti Aida
Siti Aida



“Oleh itu, harapan kami supaya kadar tambang ini dinaikkan, bukan diturunkan...kerana kami perlu servis (selenggara) kenderaan kami terutamanya yang dah lebih 10 tahun.

“Tak dinafikan, job memang selalu dapat, tetapi selalunya kosong (bila ada yang batal dan sebagainya) dan ini yang pihak atasan tak faham dengan situasi kami,” katanya pada Rabu.

Siti Aida berkata demikian ketika ditemui pemberita pada sidang akhbar Hak dan Kepentingan Pemandu e-hailing Malaysia oleh Kumpulan pemandu e-hailing Johor Bahru di sini pada Rabu.

Untuk rekod, kadar tambang bagi setiap minit yang sebelumnya berjumlah RM0.15 dinaikkan kepada RM0.37 namun bagi setiap kilometer diturunkan daripada RM0.70 kepada RM0.25, manakala tambang asas dinaikkan ke RM1.50 daripada RM1, sementara tambang minimum dikekalkan pada RM5.

Pendapat sama turut disuarakan Ruban Raja Puspanathan, 35, yang menyifatkan kadar tambang berkenaan sebagai tidak relevan ketika ini.

Ruban
Ruban

Katanya, situasi berkenaan memberikan kesukaran kepada mereka untuk meneruskan pekerjaan berkenaan dengan mengambil kira perbelanjaan melibatkan minyak (petrol) dan juga bayaran tol.

“Saya bekerja secara sepenuh masa dan oleh itu saya mengharapkan perkara ini dapat diselesaikan.

Artikel Berkaitan:

“Lagipun, selepas pandemik Covid-19 yang sekarang sudah masuk fasa endemik, pintu masuk di sempadan sudah dibuka dan ini menyebabkan kesesakan lalu lintas...sekali gus menjadikan kami memerlukan sedikit masa untuk mendapatkan pelanggan dan ini memerlukan sekurangnya-kurangnya RM0.30 setiap minit ketika bukan waktu puncak dan RM0.45 ketika waktu puncak,” katanya.

Jeffry Loo
Jeffry Loo

Sementara itu bagi jurucakap pada sidang media berkenaan, Jeffry Loo, 54, perkara berkenaan berkemungkinan akan dibawa hingga ke pengetahuan Kementerian Pengangkutan dalam usaha menjamin kebajikan pemandu-pemandu e-hailing berkenaan.

Katanya, mungkin satu kaedah atau peraturan dapat diadakan dalam usaha menyelaraskan tambang bagi kesemua pemandu e-hailing dan sekali gus menjamin pendapatan mereka.

“Kita sangat berharap agar perkara ini mendapat perhatian bagi menjaga kebajikan pemandu-pemandu e-hailing ini...tidak kiralah samada mereka (pemandu) bekerja sepenuh masa atau separuh masa,” katanya.