76 premis diserbu curi air sepanjang tahun lepas - SPAN

Mohd Fazil (kanan) menunjukkan penyambungan air secara tidak sah milik SAINS di lokasi serbuan di Mantin, di sini pada Rabu. - Foto Facebook Pusat Khidmat Pelanggan SAINS
Mohd Fazil (kanan) menunjukkan penyambungan air secara tidak sah milik SAINS di lokasi serbuan di Mantin, di sini pada Rabu. - Foto Facebook Pusat Khidmat Pelanggan SAINS
A
A
A

NILAI - Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) menyerbu 76 premis di Negeri Sembilan, Selangor, Johor, Perak dan Melaka kerana pelbagai kesalahan termasuk mencuri air melalui penyambungan saluran tidak sah, sepanjang tahun lepas.

Pengarah Unit Komunikasi Korporat dan Hal Ehwal Pengguna SPAN, Mohd Fazil Ismail berkata, melalui serbuan itu, 97 kompaun dikeluarkan melibatkan RM232,000 dan 22 kes dibawa ke mahkamah untuk pendakwaan.

"Premis berkenaan antaranya membabitkan komersial, tapak binaan, ladang ternakan dan kebun. Serbuan dilaksanakan dengan kerjasama pelbagai operator bekalan termasuk Syarikat Air Negeri Sembilan (SAINS), Air Selangor dan Indah Water Konsortium Sdn Bhd.

"Saya yakin jumlah serbuan ini meningkat berbanding tahun sebelumnya susulan aktiviti penguatkuasaan lebih aktif dengan tertubuhnya unit cegah jenayah SPAN dan semakin banyak pihak yang membekalkan maklumat, selain kesedaran orang ramai tentang kepentingan menjaga sumber air,” katanya kepada pemberita di lokasi serbuan di Mantin, di sini pada Rabu.

Mengenai serbuan berkenaan, beliau berkata, dua ladang ternakan lembu dan kambing diserbu di lokasi berasingan kerana didapati membuat penyambungan air secara tidak sah milik SAINS menggunakan paip polietilena berketumpatan tinggi (HDPE) berukuran 25 milimeter.

Mohd Fazil berkata, kedua-dua ladang milik warga tempatan berusia lingkungan 30-an ke 40-an itu dipercayai menggunakan bekalan air berkenaan untuk tujuan aktiviti harian di ladang ternakan masing-masing

Beliau berkata, siasatan juga mendapati kedua-dua premis berkenaan tidak mempunyai akaun bekalan air yang sah berdaftar dengan SAINS dan kesalahan dilakukan di bawah Seksyen 123(1) Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655).

"Berdasarkan struktur rumah dan keadaan di sini, kita percaya mereka telah beroperasi melebihi setahun dan ketika serbuan kedua-dua pemilik dipercayai telah melarikan diri. Tindakan akan diambil dan mereka perlu membayar kerugian kepada SAINS selama tempoh air berkenaan digunakan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, beliau turut meminta orang awam melaporkan kes berkaitan kecurian air kepada SPAN secara WhatsApp ke talian 013 - 3885000 atau e-mel ke aduan@span.gov.my bagi mencegah kegiatan tidak bertanggungjawab itu. - Bernama