Selangor, Negeri Sembilan berentap suku akhir Piala FA

Brendan Gan meraikan gol keempat bersama pemain Selangor lain semasa perlawanan pusingan 16 Piala FA di Stadium Bola Sepak Majlis Bandaraya Petaling Jaya.
Brendan Gan meraikan gol keempat bersama pemain Selangor lain semasa perlawanan pusingan 16 Piala FA di Stadium Bola Sepak Majlis Bandaraya Petaling Jaya.
A
A
A

JUARA lima kali Selangor FC mengesahkan kemaraan suku akhir Piala FA apabila menewaskan juara tiga kali Sri Pahang FC, 4-0 dalam perlawanan pusingan 16 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya pada Sabtu.

Anak buah Tan Cheng Hoe bermula garang apabila mula mengasak skuad asuhan Fandi Ahmad yang masih mengekalkan rekod tanpa kalah saingan Liga Super musim ini.

Mukhairi Ajmal Mahadi memulakan pesta gol The Red Giants pada minit ke-41 apabila rembatannya menewaskan penjaga gol Sri Pahang, Izham Tarmizi Roslan untuk memimpin perlawanan separuh masa pertama.

Bersambung babak kedua Selangor FC menggandakan asakan akhirnya sekali lagi menyaksikan Mukhairi Ajmal menambah gol kedua pada minit ke-59 hasil sentuhan Quentin Cheng.

Gol itu ternyata membara jentera pasukan tuan rumah apabila giliran Faisal Halim meledakan gol pada minit 67' sebelum Brendan Gan melengkapkan kemenangan bergaya Selangor.

Kemenangan itu menyaksikan anak buah Cheng Hoe bakal berdepan Negeri Sembilan FC pimpinan K Devan di suku akhir.

Terdahulu, Negeri Sembilan mengesahkan kemaraan selepas menewaskan PIB Shah Alam, 2-0 di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi.

Bagaimanapun skuad Rusa hanya mendahului perlawanan pada separuh masa kedua melalui jaringan Casagrande pada minit ke-52.

Skuad Jang melengkapkan kemenangan hasil jaringan Shahrel Fikri pada minit ke-71 untuk kedudukan 2-0 yang memihak tuan rumah.