Siti Zailah nafi dakwaan curi air pili bomba

Siti Zailah ( tengah) melihat anggota bomba menyediakan bekalan air daripada pili bomba kepada penduduk.
Siti Zailah ( tengah) melihat anggota bomba menyediakan bekalan air daripada pili bomba kepada penduduk.
A
A
A

KOTA BHARU - Ahli Parlimen Rantau Panjang, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff menafikan dakwaan beliau mencuri air daripada pili bomba sebagaimana tular sejak semalam.

Siti Zailah melalui kenyataan di Facebooknya berkata, bekalan itu merupakan saliran daripada Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) dan sudah mendapat kebenaran syarikat terbabit.

Beliau memberitahu, kerja-kerja menyediakan bekalan air itu mendapat kerjasama daripada Balai Bomba Rantau Panjang bagi memenuhi keperluan rakyat dengan segera.

"Penggunaan pili bomba adalah dengan kebenaran dan pengetahuan daripada Balai Bomba Rantau Panjang malah mereka banyak membantu kami menghantar bantuan air ke premis seperti surau dan sekolah yang kecemasan memerlukan air.

"Tiada berbangkit isu curi air, kami membantu rakyat yang kecemasan memerlukan bekalan air," katanya pada Ahad.

Pada masa sama, Siti Zailah memberitahu, kerja-kerja menggali telaga tiub untuk penduduk di Taman Rantau Mas juga sedang diusahakan.

Kami juga berusaha membantu penduduk yang memerlukan air dengan kebenaran pihak AKSB bagi mendapatkan bekalan air untuk dihantar ke kampung-kampung yang memerlukan.

"Jutaan terima kasih diucapkan atas kerjasama agensi kerajaan yang terlibat membantu rakyat," katanya.

Sebelum ini tular di media sosial mengenai dakwaan seorang ahli Parlimen menyalahgunakan pili bomba bagi mendapatkan bekalan air kepada penduduk.