Kursi Pengajian Tamadun Alam Melayu ditubuhkan di India

(Dari kiri) Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi UKM, Profesor Datuk Dr Wan Kamal Mujani; Mohamad; Mohd Ekhwan; Santishree; Reddy dan Pro Canselor University of Cyberjaya, Tan Sri Datuk Dr R Palan di majlis menandatangani MoA antara UKM dan JNU.
(Dari kiri) Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi UKM, Profesor Datuk Dr Wan Kamal Mujani; Mohamad; Mohd Ekhwan; Santishree; Reddy dan Pro Canselor University of Cyberjaya, Tan Sri Datuk Dr R Palan di majlis menandatangani MoA antara UKM dan JNU.
A
A
A

SHAH ALAM - Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) memeterai memorandum perjanjian (MoA) bersama Jawaharlal Nehru University (JNU), India untuk menubuhkan Kursi Pengajian Tamadun Alam Melayu di School of Language, Literature and Culture Studies di universiti tersebut.

Naib Canselor UKM, Profesor Datuk Dr Mohd Ekhwan Toriman berkata, langkah melebarkan sayap pengajian tamadun Melayu di negara itu merupakan bukti harapan dan aspirasi universitinya dalam mengangkat bahasa dan tamadun Melayu di persada antarabangsa.

Beliau berkata, kewujudan kursi pengajian itu bakal berperanan memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu menerusi aktiviti kolaborasi antaranya penyelidikan, penerbitan bersama, pengajaran, persidangan dan jaringan strategik antara kedua-dua universiti.

“Ini menunjukkan keupayaan UKM menawarkan bahasa dan ilmu ketamadunan Melayu sebaris bahasa dan budaya asing yang ditawarkan di pusat pengajian JNU, di mana bahasa dan budaya Melayu diajar dalam makmal bahasa yang lengkap selain kemudahan multimedia terdapat di fakulti ini,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Upacara pemeteraian MoA itu turut disaksikan Pengerusi Lembaga Pengarah UKM Profesor Emeritus Datuk Dr Mohamad Abd Razak dan Pesuruhjaya Tinggi India ke Malaysia, B N Reddy.

Mengulas mengenai sejarah penubuhan kerusi berkenaan, Mohd Ekhwan berkata, idea dan hasrat itu tercetus semasa lawatan kerja bekas Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad ke India pada Mei 2022.

Jelasnya, aspirasi itu adalah kesinambungan daripada Kursi-kursi Pengajian Melayu yang dianjurkan Kerajaan Malaysia melalui Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) meliputi Kursi Pengajian Melayu di Universiti Leiden, Belanda pada tahun 1993; University Victoria of Wellington, New Zealand (1997); Beijing Foreign Studies University (2007) dan Hankuk Foreign Studies University, Seoul (2008).

Mohd Ekhwan berkata, bakal penyandang kursi itu berperanan memperkenalkan bahasa Melayu dan menarik minat para pelajar di JNU mempelajari bahasa dan budaya ketamadunan Melayu setanding dengan subjek diajar di pusat pengajian bahasa asing tersebut.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, menurutnya, penubuhan kursi berkenaan juga bermatlamat mendukung usaha KPT menggalakkan ahli akademik dan mahasiswa memperkaya serta memperluas bahasa Melayu dalam pelbagai disiplin ilmu di serata dunia.

Sementara itu, Naib Canselor JNU, Profesor Santishree Dhulipudi Pandit berkata, MoA berkenaan merupakan peristiwa bersejarah bagi kedua- dua universiti itu yang mampu mengukuhkan lagi hubungan antara Malaysia dan India.

Menurutnya, menerusi kerjasama tersebut, bahasa Melayu akan dimasukkan ke dalam senarai 32 subjek bahasa asing ditawarkan di universiti itu.