Penularan ASF di Pulau Pinang semakin meruncing

Lima lagi ladang ternak babi di Pulau Pinang dijangkiti ASF. - Foto hiasan/123RF
Lima lagi ladang ternak babi di Pulau Pinang dijangkiti ASF. - Foto hiasan/123RF
A
A
A

GEORGETOWN - Penularan kes Demam Babi Afrika (ASF) di negeri ini semakin meruncing apabila empat buah ladang lagi disahkan dijangkiti wabak tersebut menjadikan jumlah keseluruhan adalah 11 buah.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, empat ladang tersebut adalah dua di Seberang Perai Tengah (SPT) dan dua di Seberang Perai Selatan (SPS).

Menurutnya, sehingga kini, sebanyak lebih 4,000 ekor babi yang dijangkiti telah dilupuskan oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) melibatkan tiga buah ladang.

"Sejak pengumuman pada Jumaat lalu, JPV meneruskan kerja-kerja pensampelan dan didapati sehingga kini, ada 11 ladang dikesan positif ASF.

"Hari itu, hanya tujuh namun ia bertambah empat lagi (ladang). JPV akan meneruskan lawatan ke ladang-ladang untuk kesan kes di samping menjalankan pelupusan bangkai babi.

"Kini sudah selesai mengendali pelupusan bangkai dari tiga ladang melibatkan lebih 4,000 bangkai babi. Kita akan ke ladang yang seterusnya untuk kerja-kerja pelupusan," katanya ketika ditemui selepas Majlis Perhimpunan Anggota Perkhidmatan Awam 2023 di Dewan Sri Pinang di sini pada Selasa.

Beliau berkata, pemilik ladang diminta supaya memberi kerjasama kepada JPV untuk pelaksanaan pelupusan bangkai babi yang dijangkiti.

"Saya mohon agar semua pemilik ladang beri kerjasama demi mencegah wabak tersebut merebak ke lebih banyak ladang. Ini kerana, ada penternak cuba menguruskan bangkai babi dengan cara sendiri dan tidak melaporkan kepada pihak berkuasa.

"Ini amat bahaya sebab virus sudah ada di kawasan tersebut. Selain, bukan senang nak buat pelupusan jika ia melibatkan jumlah bangkai yang banyak. Bagi pihak kerajaan negeri pun, kita perlu menggerakkan dan mendapat tanah-tanah yang sesuai untuk tujuan pelupusan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini, Pulau Pinang mengisytiharkan penyakit demam babi ASF sebagai bencana selepas lima lagi ladang ternak babi dijangkiti penyakit itu.

Sehingga Jumaat lalu, ia menjadikan keseluruhan tujuh ladang ternak babi telah dijangkiti ASF dan membabitkan 25,000 ekor haiwan di semua ladang berkenaan akan dimusnahkan secara berperingkat.

Dalam pada itu, Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, sebanyak empat sekatan jalan raya (SJR) dijalankan iaitu satu di kawasan SPT dan tiga di SPS.

Menurutnya, SJR tersebut bagi mengawal pergerakan masuk babi hidup dan bangkai babi di kawasan yang disahkan positif wabak tersebut.