Siasatan penjawat awam curi barang mangsa tanah runtuh selesai

Sasikala Devi
Sasikala Devi
A
A
A

SHAH ALAM - Polis telah melengkapkan kertas siasatan berkaitan kes kecurian barang milik mangsa tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father's Organic Farm di Jalan Batang Kali-Genting pada 16 Disember lalu.

Pemangku Ketua Polis Selangor, Datuk S Sasikala Devi berkata, kertas siasatan itu telah dirujuk ke Bukit Aman untuk semakan dan kajian sebelum diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya.

"Kertas siasatan berkaitan kes itu sudah lengkap dan telah dirujuk ke Bukit Aman, sebelum diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Isnin.

Pada 7 Januari lalu, media melaporkan seorang penjawat awam ditahan polis bagi membantu siasatan kes tersebut.

Lelaki berusia 27 tahun berkenaan ditahan di sekitar Lembah Klang.

Dalam tangkapan itu, polis juga merampas barang dipercayai milik mangsa (kes tanah runtuh). Kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

Sebelum ini, Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Superintendan Suffian Abdullah memaklumkan pihaknya mengesan satu hantaran di Facebook dipercayai daripada salah seorang ahli keluarga yang mendakwa terdapat individu tidak bertanggungjawab menggunakan kad Touch 'n Go milik mangsa.

Tragedi tanah runtuh pada 16 Disember lalu mengorbankan 31 nyawa dengan 12 daripadanya adalah kanak-kanak, dan seorang bayi lelaki berusia setahun.

Artikel Berkaitan: